~Jalan Kenangan~ Sangdewi~

Sepanjang jalan kenangan, banyak kisah yang datang dan ditinggalkan, banyak cerita yang dijadikan teladan dan sempadan.Sepanjang jalan kenangan semalam yang tidak pernah padam, kenangan hari ini yang terus bersemi, kenangan akan datang yang akan menjelang.Sepanjang jalan kenangan ini, di sini aku berdiri atas nama insani.

Tuesday, June 20, 2006

13 JUN- 4 tahun lalu, di business centre Hotel Mulia, Jakarta menjadi pemula. Aku menulis blog atas desakan walaupun minat sudah lama menjelma. 4 tahun yang tidak begitu tepat, kerna penulisan tersekat-sekat dan juga blog atas nama dulu juga pernah tamat. Adakala berbulan-bulan tidak menulis, adakala peristiwa besar juga tidak sempat ditulis habis, dan adakala mahu sahaja semua kenangan dibiar terhakis. Waktu menulis aku berusaha tidak mahu menjadi pengemis, meminta cerita untuk diceritakan, meraih kata untuk dijadikan perkataan, yang aku mahu agar telus dalam bahasa dan nada perasaan aku saja. Menulis walau tak difahami cukup jika sudah terluah rasa hati, menulis walau tak berterus terang cukup jika bisa membuatkan hati tenang. Blog ini juga banyak mendekatkan aku dengan `tetamu senja' yang aku sendiri tidak tahu dari mana, ada yang singgah, ada yang menyapa, ada yang lalu sahaja, ada yang mula mahu mengenal, ada yang membaca dalam rahsia, ada yang tahu tapi buat tak tahu, sebenarnya ianya lumrah kerana tulisanku ini sudah berada di alam maya, dan tentunya aku tidak bisa menolak semua keadaan ini.

Terima kasih untuk 4 tahun ini, kepada keluarga yang disayangi, kepada Papa yang bererti, kepada anak-anak yang dikasihi, kepada teman-teman yang sukar dicari ganti, kepada setiap memori yang aku lalui, kepada setiap kegembiraan di hati, kepada setiap kelukaan yang mengajar diri, kepada setiap pengalaman duniawi, kepada semua `makhluk Tuhan' yang aku kenali dan tidak kenali, aku amat perlu berterima kasih tanpa ayat menggegar cukup cuma jika hati kalian mendengar. Kehidupanku jadi lengkap dengan setiap pengalaman yang kudakap.

Ok....`dia' ada tugasan hari ini, pembikinan video klip untuk lagu `B'. Asalnya jam 2 petang, tangguh lagi ke 3 petang, kemudian 4 petang. Cuaca yang menggagalkan, dan kami tiba di Pengasih juga pada sebelah petang. Dilayan baik sebagai tetamu yang diundang, diberikan tempat rehat yang lapang. Memulakan pembikinan dengan tenang, semuanya serba tenang. Jam 9.30 malam berangkat pulang. Esok sambung lagi di sini lagi.

Hanya untuk satu ingatan diri sendiri atas peristiwa hari ini: Berlapik kata kerna tidak mahu hati terluka;namun akhirnya aku juga yang terluka.

Tidak muncul depan mata, dalam hati dan tidak ada juga di sisi.

14 JUN-Hari ini aku membantu dahulu di RS, sebelum ke lokasi video klip lagu `B' di Pengasih. 4 jam di Pengasih, berakhir dengan satu majlis kecil yang besar makna. Dia turut memberi sepatah dua kata dan berakhir dengan penerimaan cenderamata.

Kemudian ke lokasi lagi satu, sampai awal dan berehat dalam caravan. Hampir jam 10 malam baru bermula. Oleh kerana sejak semalam badan lemah, aku benar-benar keletihan. Curi tulang hampir 2 jam dalam caravan, mengantuk sangat. Jam 3 pagi, aku kembali melihat dia di lokasi sampailah jam 530pagi.

15 JUN-Keletihan semalam membuatkan aku bangun agak lewat hari ini. Kemudian ke RS, membantu di sana pula.

16 JUN-Di RS, kemudian ke bangunan Maxis, ada meeting di sana. Sampai agak lewat, tak sampai setengah jam, semua dah selesai.
Malamnya, aku minta PSNN dan junior memberikan hadiah surprise buat Papa sempena Hari Bapa. Hadiah yang tak seberapa, baju T lengan panjang yang aku beli dua, design sama, warna sama, saiz sahaja yang berbeza. Satu untuk aku dan satu lagi untuk Papa. Papa terus memakainya dan kami anak beranak keluar makan kat gerai yang tak jauh dari rumah.

17 JUN-Paginya ke RS, kemudian ikut dia ke acara JJ di Taman Equine. Jalan sesak, akibatnya hampir sahaja terlewat. Semua berjalan dengan baik.

18 JUN-Pagi di RS, kemudian ikut dia ke PWTC, buat latihan sebelah petangnya untuk acara malamnya pula. Aku ke The Mall, cari album untuk lagu-lagu acara dia di tv nanti. Pusing-pusing aku jadi bosan, tak banyak pilihan.

19 JUN-Ada meeting di RTM untuk acara dia, minta tolong R hantarkan.
Kerana aku lapar sangat, akhirnya meeting dibuat di kantin sahaja. Lama juga ambil masa hampur 4 jam. Alhamdulillah rasanya lega sebab selesai untuk dua acara sekaligus, kalau tidak susah juga nak mengatur jadual kerjaku.

Bergegas ke sekolah PSNN, aku dan Papa mungkin ibu bapa terakhir yang datang buat perjumpaan dengan guru-guru. Sebenarnya minggu lepas tapi aku minta tangguh ke hari ini. Berdebar juga menantikan prestasi PSNN yang guru-gurunya hendak bentangkan.

Rasa lega bila PSNN nampaknya ada peningkatan dan semua guru-guru berpuas hati. Melihatkan hasil kepada keputusan peperiksaannya, aku gembira. Malah aku terkejut kerana aku sangkakan PSNN agak ketinggalan kerana banyak perkara yang aku tanya di rumah dia tidak dapat menjawabnya, rupa-rupanya di sekolah PSNN belum lagi belajar di tahap itu. Hehehhe....patutlah....

Papa warnakan rambutnya hari ini setelah lama meminta izin, aku saja yang tidak bagi. Akhirnya untuk hari ini tidak mengapalah, asal berpuas hati!

Ruang bersemuka merungkai segala namun jika masih berahsia tentulah masih ada hati yang terluka dan tertanya-tanya

Wednesday, June 14, 2006

3 JUN-Memilih untuk di RS sahaja kerana kakakku masih di kampung lagi. Walaupun dia ada kerja tetapi aku tidak boleh menemani. Perasaan bila dilayan akan mengundang curiga di hati. Rasa jika diikutkan akan mengundang pelbagai emosi. Itulah makanan sehari-hari. Jika benar apa yang terlintas di hati, aku hanya mahukan bukti dan sedia mendepani.

4 JUN-Setelah lama tidak ikut ke acara dia di luar KL, aku ke Kedah hari ini untuk SUKMA. Dia ada acara di situ tapi sebelah malamnya. Sampai di bilik hotel, aku menempah makanan untuk dia terlebih dahulu dan turun ke cofee house pula untuk makan tengahari. Mulanya aku hampir sahaja seorang diri, akhirnya ditemani.

Malam-Ke acara penutupan SUKMA, tempat SNFT 2004. Jejak kaki di sini, semuanya kembali teringat.

5 JUN-Pulang ke KL, kepala pening. Sejak pagi tadi berpusing-pusing. Apakah rungsing??? Atau ada tekanan yang membanting????

Bila aku katakan tidak, jangan pernah berkata hendak. Jika aku katakan jangan, mengapa memilih lain jalan? Sesungguhnyanya aku berkecil hati, bukan mengongkong diri, cuma minta memahami, minta diperhati. Perasaan ini mudah dibeli, tak perlu ditawar, kerana harganya masih serendah suatu peduli.

6 JUN-Aku ke RS siangnya, petang bertolak ke KLH, bersama Z. Dia ada acara MBOR, aku bersamanya. Dia menerima MBOR untuk RAH, aku berbangga. Suatu kenangan yang subur sentiasa. Tahniah! Jalan kejayaan yang tak mudah tapi akhirnya diiktiraf!

7 JUN-Acara dia diwawancara satu program krew dari Kota Singa. Bermula wawancara di pejabat, kemudian ke salon di KLCC dan seterusnya ke hotel. Malam baru selesai tetapi bersambung lagi esoknya.

8 JUN-Aku menolak untuk wawancara ini.Malu, tidak mahu, dan selalunya aku akan kurang bersetuju dengan apa yang aku cakap lebih-lebih lagi di tv. Aku gugup sebenarnya tetapi inilah permintaan krew yang mahu aku muncul juga. Sukar menolak, akhirnya aku tiba juga di pejabat. Datang awal tapi giliran aku agak lewat, dan aku minta dipercepat kerana mahu ke RS, ada shooting lagi acara dia dalam GGA di sana.

Setelah wawancara, aku bergegas ke RS. Buat serba sedikit persediaan. A dan krew GGA datang jam 2 petang. Penggambaran yang melibatkan dia dahulu dibuat, kemudian GGA menggunakan lokasi RS sampai malam. Bagi aku ini rezeki datang bergolek, GGA yang mahu menggunakan tempat aku sebagai lokasi. Aku tidak boleh menolak malah berbesar hati.

pertanyaan: untuk apa sebenarnya? menerpa pada tempat tapi berkalih juga seakan tidak sempat, apatah lagi mahu datang merapat. (aku sedikit emosi, semua entry emosi ini adalah kitaran perasaan sahaja..........)

9 JUN-Aku ingin ruang untuk bawak PSNN dan junior keluar dan berjalan-jalan. Tapi aku hampa, aku tidak mempunyai masa. Aku cuba memperuntukkan masa, tapi aku juga terkecewa!!!!

10 JUN-Bila hilang ramah kita akan marah, bila hilang bayang kita tidak duduk senang. Hanya perlu tabah jika jiwa sedang berperang.

11 JUN-SZ di RS. Sembang2 juga dengan mereka. RS sebagai tempat pertemuan, silratulrahim dieratkan. Tak pernah terfikirkan dan tergambarkan. D datang hari ini dengan surprisenya. Aku betul2 teruja dan tak sangka. Akhirnya beg impian depan mata, terima kasih seikhlasnya. Album penuh nostalgia juga, kenangan dari awal mula. P, dari SZ juga memberiku hadiah. Memang tak pernah tahu akan melalui detik sebegini indah, rasa disalur dengan mudah dan dipermudah.

12 JUN- Menghitung waktu, apakah menyelebelahiku??? Dia ada acara di KL kecil, aku pulang dengan Papa. Dia sudah ada di sana. Acara habis tengah malam, bertolak juga ke KL besar kerana ada kerja esoknya.

Thursday, June 08, 2006

30 MEI- Malam semalam, aku sampai je di rumah, PSNN kata ada kejutan, rupa-rupanya kakak, abg ipar dan anak saudaraku dari Kelantan ada di rumah. Ingatkan apalah...

Papa ke Sabah hari ni dengan dia, aku tak ikut lagi sebab nak balik kampung dengan anak-anak, kebetulan PSNN pun bercuti.Hehheheh....setelah menghitung hari, akhirnya pagi ini aku jadi juga pergi. Bangun awal pagi, bersiap sakan, macam nak pergi kenduri. Dah lama benar tak pergi shopping, saranan teman-teman untuk ke Jusco Maluri disambut dengan senang hati. Hari ini hanya untuk ahli, jadinya harga turun berkali ganda dan harapnya dapatlah apa yang aku nak cari.

Jam 930am aku dah ada depan Jusco tu, teman-teman juga dah ada, aku, R, F, A, dan A yang lagi sorang dah lama sampai, agaknya dah bertroli barang dibeli. Untuk memberi keselesaan kepada semua teman, kami berpecah-pecah, sapa nak beli apa, tak perlu mengekor sorang-sorang, aku yang mulanya memberi cadang. Heheheh....pembelian pertama, cadar & comforter, bantal, dah tak muat troli, nasib baiklah teman yang baik hati datang membantu, dan lagi dan lagi, doranglah yang usung troli bawak masuk barang2 dalam kereta R. Rambang mata ni, nak beli semua, akhirnya dapatlah juga barang2nya, bergegas nak balik ke rumah, nak berkemas, nak balik kampung pula.

Keluar dari Jusco, ke Makro pula, beli barang2 lagi nak bawa balik kampung untuk kenduri, jadinya penuhlah kereta R, nasib baik masih boleh jalan lagi. Kemudian terus balik ke rumah, asingkan barang untuk rumah dan juga yang hendak dibawa balik ke kampung. Aku mengemas baju2 aku, PSNN dan junior. Bila semuanya dah siap, jam 6 petang, aku, Jannah, PSNN dan junior menuju ke KL kecil, kampung aku, naik kereta R.

Aku memang ajak R balik kampung, dia boleh bawa kereta dan juga memang ada projek khas dengan dia ni nanti. Sepanjang perjalanan tu, aku macam pemandu pelanconglah, bercerita tentang negeri kesayanganku itu pada R. Sampai kat bandar Raub, tetiba bolehlah sesat, malu betul aku. Maklumlah dah lama tak balik.

Sampai je kat rumah keluarga aku, semua masih belum tidur. Makan2, bercerita, agihkan kain dan baju dan beg pada kakak2 aku yang ada malam tu. Untuk anak2 saudara pun semua dapat, esok pun masih kena agih2kan lagi.

31 MEI-Menghirup udara segar kampung, R memang tak sempatlah nak hirup, bangun lewat. Aku biasalah, kalau balik kampung, kenalah bangun awal dari biasa. Giliran berbakti pada keluargalah ni, aku memasak, emak aku biasalah, orang sakit macam2lah keluar dari mulutnya. takpe, aku dah faham benar.

Petang sikit aku, R dan anak saudaraku, Annur, memulakan projek khas yang dirancang. Destinasi pertama ke sekolah menengah aku, ambil gambar depan pintu masuk dan papan tanda sekolah. Nak masuk ke dalam rasa malu, tapi masuk juga dalam kawasan sekolah tu, ambil gambar depan asrama dan kemudian bergambar di depan bangunan sekolah. Tak lama, sekejap je, malu juga kalau terserempak dengan sesiapa kat situ.

Lepas tu pergi ke sekolah rendah aku pula, ambil gambar kat tepi papan tanda je, kemudian ke sekolah tadika, aku ambil dekat tangganya saja, sekolahnya atas bukit. Ambik gambar juga di depan restoran lama, rumah lama, nak bergambar dekat stesen bas, malu, tak jadilah. Kemudian ajak R yang nak minum ABC ke Jeram Besu, takde pulak orang jual, akhirnya makan mee sup. Masa nak pergi Jeram Besu ni pun aku boleh sesat, fuh!!!

Bila dah takde tempat nak ambil gambar lagi, bukan takde, letih sebenarnya campur pula dengan malu, beli barang2 sikit kemudian terus balik ke rumah.

PSNN dan junior bila balik kampung memang happy, kawasan depan rumah luas. Kesian Jannah berkejar-kejar mendapatkan Junior yang sesuka hati je ke mana dia nak pergi. Petang tu ingat nak bersukan, main badminton dengan R kat depan rumah, bulu tangkis takde. Sudahnya guna je gumpalan tisu yang diikat dengan getah gantikan bola tangkis, hehehhe..tak sampai lima minit dah berhenti.

1 JUN-Sedang sibuk kat dapur, kena pergi hantar kunci kereta ke Dong sebab kunci kereta kakakku tertinggal dalam bonet. Gara-gara Anniah la ni. Aku ajak R ke Dong dalam 30minit jugalah perjalanan. Balik tu sambung memasak. Kemudian aku ajak R bawa Jannah dan anak2 ke rumah keluarga mentua di KL kecil. Sajalah dah alang2 balik, mestilah kena jengah jugak ke sana. Ingat nak ambil gambar aku kat KL kecil, banyak kenangannya tapi tak sempatlah. Anak2 pula meragam. Balik dari tumah mentua, singgah di KFC, beli untuk bawak balik ke rumah.
Petang-R balik ke KL besar, ada kerja. Terima kasih pinjamkan dan tumpangkan kami anak beranak balik kampung.
Malam- Papa balik tapi dah lepas tengah malam baru tiba. Anak2 semua dah tidur.

Tarikh yang harus dikenang, setahun lalu RS dibuka secara rasminya. 365 hari penuh dengan cerita, dugaan, hampir jatuh, merangkak, bangun, semua ini adat berniaga. Bersyukur atas rezekiNya. Entah dari mana ketabahan, cuma RS itu cukup membahagiakan!!!!

2 JUN-Hari kenduri (tahlil untuk arwah ayah). Sejak pagi dah sibuk. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Sebelah tengahari sebelum sembahyang Jumaat, majlis baca Yassin untuk kaum wanita dan makan kenduri. Lepas Jumaat, kaum lelaki pula.

Petang- Bersiap pulang ke KL. PSNN tak nak balik lagi katanya. Aku, Papa, Eni, Junior dan Jannah saja yang balik ke KL besar. Singgah kat rumah kakakku pula, sudahnya lepas Maghrib juga baru bertolak balik.

Tuesday, June 06, 2006

26 MEI-Pagi di RS, kemudian ke Muzikfm, dia ada wawancara. Berlangsung 1 jam, kemudian terus ke Astro, untuk acara malamnya pula. Talk show baru, yang ratingnya tertinggi sekarang ini, kata penerbitnya. Aku kira orang Malaysia memang suka gossip. Tidak hairanlah program ini melonjak naik.

Sementara menunggu dia bersiap-siap, aku ke kafeteria mencari juadah, perut memang dah lapar dari tadi. Tak banyak yang boleh dimakan, akhirnya nasi goreng yang kubeli. Sibuk bercerita sambil menunggu, tak sangka dah hampir jam 9 malam. Kelam kabutlah dibuatnya, aku segera mencapai baju untuk digosok. Di bilik wardrobe, bertembung dengan beberapa orang peserta AF4, yang sibuk mencuba baju untuk prelude. Kesiankan.....walau tak selesa, dah orang sediakan, kena pakai. Nak bersuara mungkin tak sampai hati dan takut. Aku pun sejak AF3 lagi dah heran dengan pemilihan baju, banyak sangat tak kena, dah tu yang perempuan akan jadi mangsa, kekadang seksi, kekadang tak kena, kekadang nampak tak selesa pada pemakainya.Aku tahu benar peranan pakaian, 80% membantu keyakinan atas pentas. Jika tak selesa, alamatnya pergerakan jadi tak tentu hala, rasa macam ada yang tak kena, berbirat-birat muka.

Talk show dah habis, borak2 dengan yang dikenali di studio, membawa ke perkarangan lobi Astro. Jumpa SM dan JL, macam tak percaya je JL datang dan aku pun ajak je dia jumpa kejap. Sajalah, buang yang keruh ambil yang jernih. Tengokkan, industri ni kecik je....balik2 jumpa gak. Jangan tulis yang bukan2 lagi sudahlah....

27 MEI-Curiga sangat, rasa nak tau sangat. Perubahan yang ketara atau aku saja yang rasa? Entahlah....tapi hati sentiasa berteka-teka dan berkata-kata.

Dia ada acara di CPH, datang awal untuk latihan. Kemudian berehat saja tunggu malam, tapi aku curi kesempatan. Pergi ke KLCC mencari beg idaman. Alamak, tinggal yang kecil saja, akhirnya aku beli juga. Kecil pun tak mengapa.

28 MEI-Pagi di RS, siapkan apa yang patut. Suruh R belikan kek hari jadi Eni. Dia pun tak perasan hari ni harijadinya. Papa tak ada, aku ajak R menemani ke TR di KLCC, ada acara dia. Aku sampai awal. Lama juga di TR, hampir 2 jam. Aku kemudian membelikan hadiah harijadi Eni, set alat mekap. Balik dari KLCC, terus ambil PSNN, junior dan Jannah di rumah dan bawak ke RS.

29 MEI-Minta R hantar ke RTM, ada meeting untuk acara dia. Aku tak sempat nak join dia meeting dengan client di SH. Kemudian bertemu di Memorial Peringatan P.Ramlee, menghadiri tahlil di situ. Agak lewat sampai. Habis sahaja acara di situ, terus ke Bangsar, sambung kerja. Singgah makan dahulu. Dah tak tahan lapar. Kemudian ke studio untuk kerja dia.

Tuesday, May 23, 2006

18 MEI-Malam semalam makan makanan yang sedap dengan 3 orang teman, tak jauh dari rumah. Rambang mata nak makan macam-macam, atas meriah penuh meriah. Ingat nak makan ala-barat tapi bila sampai kat situ, selera mula goyah. Selera kampung memang begitulah.

Hari ni macam biasa ke pejabat, lepas tu ke RS pula. Buat jadual penuh `dia' untuk beberapa bulan ke hadapan juga.

19 MEI-615pagi dah bangun, pagi ini ada wawancara dia di HotFM, TV3. Pertengahan jalan, singgah beli McD, tapi tak membuka selera. Sampai di TV3, memang tepat waktunya. Wawancara penuh ceria berlangsung 1jam lebih lamanya. Aku kemudian ke RS, membantu kerana biasanya hari Jumaat agak ramai pelanggan. Seterusnya abang A datang, mahu bertanyakan perancangan. Kemudian disusuli Papa pula, yang datang bersama peguam, sambung lagi perbincangan.

Teman dari seberang, juga pengurus pada penyanyi R datang, makan-makan dan berbincang lagi, macam-macam rancangan. Seterusnya dia menjemputku di RS, ada wawancara di KLFM pula malamnya. Berlangsung satu jam setengah di KLFM dan seterusnya wawancara untuk satu rancangan remaja. Masa dimanfaatkan sepenuhnya. Dalam perjalanan pulang dia bertanyakan jadualnya dan jadualku untuk esok harinya. Aku bilang tidak ada apa-apa, diajak ke tempat yang memang kusuka. Nantikan esok saja jawabnya.

20 MEI- Dari pagi sudah di RS, alhamdulillah agak ramai orang hari ini. Jadinya aku tidak ikut dia, Papa, anak2ku dan yang lain2 ke tempat yang memang ingin aku pergi. Tidak mengapalah, mungkin bukan hari ini. Aku di RS hingga ke malam hari, berlanjutan kerana teman dari seberang datang lagi. Berbincang berjam-jam lamanya, aku sendiri tak menyedari.

Siang tadi juga, teman-teman sz ada datang untuk makan tengah hari dan selebihnya memyambut hari jadi. Heheheh..memang tak sangka betul, sempat aku tiup lilin dan potong kek, gara-gara ZZ yang mahu menyambutnya sekali. Terima kasih sangat! Tak mudah buat orang ingat! Kek, lilin, makan,foto, minum, sembang, gelak, ketawa, petang itu semuanya bererti. Lebih dari makna hari jadi.

21 MEI- Bangun pagi kerana hari ini akan ada sejarahnya sendiri. PSNN akan menyertai sukan pertamanya hari ini. Sekolah PSNN mengadakannya setahun sekali namun inilah yang pertama kali. Aku dengan bangga pagi itu pergi dengan Papa membawa PSNN ke tempat acar sukan diadakan. Sudah kuberikan semangat dan dorongan. Aku kira PSNN begitu teruja, senyuman terpancar dan dia juga nampak bersemangat ceria.

PSNN masuk dua acara iaitu lari dalam guni dan bawa (tolak) bola golf dengan kayu golf mainan. PSNN dalam pasukan kuning dan dia menyertai secara berkumpulan. Untuk acara pertama, PSNN jadi peserta pertama dan dia yang memulakan. Jauh meninggalkan teman-teman pasukan lain, dia membawa bola dengan penuh karisma, rileks tetapi begitu menyakinkan. Yang lain jauh ketinggalan. Akhirnya kuning mencipta kemenangan. (Aku yang lebih bersorak)

Acara yang kedua, lari dalam guni, PSNN nampak sungguh ceria walaupun dia menjadi perserta terakhir pula. Melihatkan prestasi teman-teman di hadapan yang tidak menyakinkan, aku lihat wajah PSNN berubah kemerahan. Mungkin dia juga menjangkakan kekalahan. Mana tidaknya, pasukan lain yang jauh ke hapadan, kuning masih ada dua orang lagi di depan. Namun atas sikap sporting semua, PSNN menghabiskan acara, dia menyaruing guni, berlari hebat walaupun pasukan lain dah meraikan kemenangan. Bangga dengan PSNN yang penuh semangat kesukanan.

Terakhir ada acara ibubapa dan anak, aku dan Papa diajak turut serta. Hanya suka-suka. PSNN dapat pingat/medal untuk acara bola golf, tergantung di lehernya sentiasa. Selepas tamat acara sukan, aku segera ke RS pula,merancang untuk memberi surprise kepada guru-guru PSNN.

Singgah di kedai kek, beli perisa mangga dan bawa ke RS, tadi guru2 PSNN kata mereka mahu datang makan tengah hari. Bila mereka sudah selesai makan, aku dan PSNN membawa kek, siap suruh semua tiup lilin lagi. Aku mahu PSNN menghargai. Mereka itulah guru beliau yang pertama dan seharusnya PSNN mengingati detik2 ini.

Malam-Pulang ke rumah, PSNN yang sudah berpakaian tidur masih memakai medal di lehernya. Bila dia lena, barulah aku menanggalkannya. Itulah medal pertama dia, biarlah dia merasakannya, meraikankan kejayaannnya dengan cara dia.

22 MEI-PSNN cuti sekolah hari ini kerana bersukan semalam. Papa ke Jakarta lagi. Aku dan R ke kedai servis mesin basuh dan pintu, untuk membaiki kedua-dua benda itu. Bila selesai, rasa lega kerana sejak beberapa minggu lalu aku mahu melakukannya. Mesin basuh di rumahku tidak boleh spin dan pintu dapur rumahku hampir terkopak (kena air dan mengembang agaknya).

Wednesday, May 17, 2006

12 MEI- Kepenatan semalam membuatkan hari ni lamabt datang RS, lagipun tak mengapalah menghadiahkan rehat untuk diri sendiri. Di RS, ada dua teman baru datang makan. Ada juga hadiah dan ucapan yang dihulurkan. Terima kasih di atas pemberian. Tak sangka RS menjadi tempat pertemuan, tempat yang paling dekat untuk menghulurkan salam perkenalan.

Aku tahu di luar sana mungkin aku menjadi orang yang berbeza, keadaan dan juga desakan kerja. Tanggapan pertama mungkin tidak seperti bila sudah kenal lama, sering bersua serta berbicara. Aku gembira kerana hari ini aku semakin menyerlahkan diriku yang sebenarnya. Mungkin RS adalah penyelamat, dan pandangan serong terhadapku makin kurang, walaupun ada yang masih tidak senang. Mungkin tidak berpeluang untuk mendekatkan jurang. RS lain dengan duniaku yang di luar. RS banyak memperlihatkan aku yang sebenar.

Malam pula aku singgah di 7-11, membeli makanan seperti mahu pergi ke Jakarta sebulan. Banyak yang dibeli terutamanya kudapan. Menunggu menghasilkan sebuah video klip begitu memenatkan dan kudapan ini jadi teman.

Tiba di rumah aku berkemas-kemas untuk esok, pastikan semua keperluan tidak tertinggal. Beg hampir penuh dengan bekal.

13 MEI-Hasrat mahu bangun awal kemudian ke RS nampaknya tinggal mimpi. Pagi itu aku memastikan semua barangan keperluan dia juga sudah disediakan, berkemas pula pakaian tambahan Papa yang mungkin tidak balik bersama nanti.

Tiba di Jakarta, terus check in di hotel, dan kemudian ke plaza bersebelahan untuk mendapatkan barangan dia. Aku juga sempat tengok-tengok barang yang ada. Sempat makan di plaza tersebut sebelum aku terjumpa kedai barangan hari jadi anak-anak yang begitu cantik sekali. Aku teringatkan Yana, anak A, dan aku membeli apa yang menarik di hati.

Sempat bersama Papa masuk ke satu butik. Mulanya hanya mahu jadi peneman, akhirnya aku membeli seluar yang membuatkanku tertarik. Harganya boleh tahan walaupun sebenarnya aku terlepas pandang harga sebenar, kalau tahu memang aku tak akan beli. Papa memarahiku, tak apalah katanya, sesekali. Bukan kedekut, bukan berkira, tapi aku hanya mahu membahagi, kerana jika sejumlah itu nilainya hanya satu yang ku dapat, biarlah aku memilih untuk barangan lain yang boleh diperolehi lebih dari satu, dua, tiga dan mungkin juga empat.

Pulang ke bilik hotel, ada temujanji dengan TS, penulis lagu CUM, yang terlalu ingin bertemu idolanya. Berbicara dengan TS, dan kemudian diselang dengan perbincangan tentang video klip esok bersama, RM, pembikin video klip dia sebelum ini juga. Sekitar 2 jam mereka di situ, dan kemudiannya suasana selebihnya ditinggalkan dengan borak2 aku dan Y, yang ikut sama ke Jakarta. Dia juga sesekali datang menyapa, dan malam itu aku tidur lena selena-lenanya.

14 MEI-Dah janji dengan Y, aku nak membawa dia berjalan-jalan pagi ini. Menaiki teksi ,aku ke Cikini, mencari bahan kraf yang dipesan R untuk projek syarikatnya. Banyaknya kraf yang cantik dan murah, aku mula membayangkan macam2 acara, kawin, hari jadi, lebaran dan sebagainya. Setelah melihat2 di situ, mengambil kartu nama peniaga, aku dan Y bertolak ke Pasar Senin. Di sini lebih kurang Mangga Dua dan Blok M. Aku sengaja membawa Yana ke sini kerana mahu dia menikmati apa istimewanya shopping di Indonesia.

Aku membeli kain lace, buat diriku dan juga E, esok hari jadinya. Sengaja membelikan E kain lace sebab aku fikir sesuai waktunya dia bergaya lebih dari biasa, sesuai dengan pencapaiannya selepas ini, acara satu dalam sejuta. Kemudian aku membeli kain batik pasang untuk kakak2 dan iparku. Jenuh juga dari Cikini ke Pasar Seni menaiki bajaj, roda tiga. Kata Y, itu kali terakhir dia mahu mencubanya. Y juga nampak gembira, banyak kain dibelinya.

E memberi sms untuk tempahan majlisnya esok hari, aku bertanyakan kakakku kerana hanya tinggal sehari. Sementelah sudah ada dua tempahan pada hari yang sama, aku harus mengatur semuanya dengan baik walaupun hanya melalui sms dengan orang di RS. Mereka akan menyiapkan semuanya esok, tinggal diambil sahaja makanannya di RS nanti.

Habis di situ, kami pulang ke hotel, kerana dia sedang bersiap-siap. Agak lama juga dan sempat lagi aku melelapkan mata. Jam 4.30 petang, bertolak ke lokasi untuk video klip BR, dari album terbarunya. Kukira dari segi visual aku amat berpuas hati. Seperti kata RM, pengarahnya, dia tidak dapat lari dari menunjukkan kecantikannya, justeru tidak perlu jalan cerita. Aapa-apa sajalah RM, yang penting tidak lari dari kualiti dan hasilnya akan dipuji. Penggambaran selesai jam 1 pagi.

15 MEI-Mmmm..ke sebuah beauty center yang jadi kegilaan artis di san. Aku dan dia mencuba, perawatan muka. Sudah lama aku tidak facial, dan peluang yang ada aku gunakan sepenuhnya. Aku juga mencuba produk di situ, harganya, aduh....RM beribu..tak mengapalah, Papa membantuku. Kalau hendak isteri gebu dan cantik selalu, mestilah membantu.........heheheh

Seterusnya ke airport, Papa tidak pulang bersama, masih ada kerja. Tiba di KLIA, R dan PSNN mengambilku. Dia dan Y terus ke majlis E,aku titipkan hadiah dan kad buat E pada Y. Moga dia gembira walaupun mungkin tak seberapa. Buat E, salam hari lahir, moga kesejahteraan terus hadir dan kebahagiaan takkan berakhir. Meski aku hanya melihatmu dari pinggir, besar doa dan harapanku terukir. (Kerana engkau Taurus...aku cukup memahami dirimu.....)

16 MEI-Tengahari baru ke RS. Membantu sampai RS tutup.

17 MEI-Aku ke pejabat, ada meeting sebelah petangnya.

Thursday, May 11, 2006

11 MEI- Mmmmm..apa lagi yang hendak didefinisikan tentang tarikh ini. Detik 12 malam, aku berada di sebuah restoran tomyam, bersama Papa dan anak-anak yang dikasihi. Aku memang memperuntukkan waktu untuk merasai suasana ini. Memang badan terlalu letih kerana sejak pagi di RS namun masa tidak akan memberi peluang jika tidak dicuri. Mahu sahaja aku hanya bersama Papa, namun melihat PSNN dan junior yang masih belum tidur aku jadi tidak sampai hati. Jadinya kami berempat di sini. Lewat 2 jam sebelum tiba detik tengah malam, Papa yang baru pulang dari Sabah sudah memberikan sesuatu yang memang terlalu ingin aku miliki. Masakan tidak, aku mahu sejarah hidupku diabadi. Aku mahu membawanya ke mana saja aku pergi. Walaupun sudah ada beberapa yang aku miliki sebelum ini, namun aku mahu ianya kepunyaan sendiri. Begitu senang hati aku malam ini. Memilikinya sudah cukup membuatkan aku amat berpuas hati. Apa dia???? Yang ku impikan hanya kamera digital yang tinggi fungsi. Sejarah hitam album2ku musnah setelah lebih 20 tahun menyimpannya begitu meremukkan hati. Memikirkannya buat hati menangis lagi. Aku mahu memulainya lagi.....

Siang itu aku ke RS, membantu supaya aku boleh pulang awal sebelum pergi ke acara yang aku rancang sendiri. Hanya konsep dan temanya sahaja, selebihnya ditentukan teman-teman yang
disayangi. Setiap tahun dengan tema berbeza tentu majlis lebih berseri.

Ada beberapa perkara yang belum sempat diperolehi, dan petang itu aku mengajak Papa ke tempat jualan pakaian jenama yang dikatakan murah. Bila tiba di sana, nampaknya iklan saja yang meriah.

Singgah di JJ untuk membeli baju tidur kerana konsep malam ini adalah tidur, tempat tidur dan baju tidur. Tak banyak sangat pilihan tetapi aku telah menjumpai stokin pink berbulu yang memang aku dah lama nak pakai, tak salah..hanya untuk berhibur.

Balik ke rumah, ingat nak bersiap-siap awal tetapi memandangkan PSNN dan junior memang tak duduk diam, aku mengambil keputusan ke salon terlebih dahulu sebelum bersiap di rumah R.

Hehehheeh....susah nak gambarkan gayaku malam itu, cukup dengan serba merah jambu(lagi..dan lagi...). Atas kepala dengan skaf (cekak) beriben, baju tidur lambang cinta paras lutut sahaja, stokin berbulu, rambut aku biarkan panjang mengurai, sedikit bedak dan gincu. Cukup membuatkan aku tersenyum kerana mengenakan gaya begini bukan selalu.

Selepas siap, aku dan R mengamvil A dah terus menuju ke rumah A & F. Sampai depan pintu rumah, kena tutup mata (lagi....). Masuk dalam rumah, biasalah....pergerakan aku dikawal....entah apalah yang sedang berlaku, dan membiarkan aku dengan mata maish tertutup.

Berdiri di satu tempat, tetiba aku macam terlibas kek dengan tanganku...heheheh..bocor dah rahsia. Depan aku ada kek rupanya...jeng..jeng..jeng....tiup lilin dan bukak lampu. Klik-klik-klik..dengan kamera baru.

Habis acara pertama, kemudian makan-makan, seterusnya bergambar macam orang baru jumpa kamera. Memang aku mahu malam ini diabadikan sepenuhnya. Mahu gambar itu kekal selamanya, mahu kenangan ini aku bingkaikan...mahu segala-galanya menjadi yang termanis.
Semua teman-teman sporting, berbaju tidur semuanya. Tak kurang yang terlebih gaya dengan rambut yang kusut masai, konon-konon terlebih tidurlah tu.

Bila dah habis bergambar kat atas tilam yang terletak di tengah-tengah rumah, dengan belon-belon, ada pulak tayangan yang cukup memeranjatkan. Sungguh aku tidak sangka, selepas 16 tahun, aku akan menatapnya lagi..sungguh mengesankan. Aku amat terharu dengan usaha R dan teman-teman mendapatkan bahan itu, sedang aku sendiri tidak mempunyai simpanan. DVD Pesta Pantun Kebangsaan 1990 itulah yang dihadiahkan. Walaupun malu melihat aksiku, tetapi aku berbangga kerana kini aku telah memilikinya. Secara eksklusif, kami menonton beramai-ramai malam itu, usikan berderai-derai.

Tiba-tiba ada pulak benda bertutup kain yang muncul di tengah rumah. Aku diarahkan membukanya walaupun ngeri, tak tahu apa yang dihadiah. Aduh, terharunya, portable sauna yang selama ini aku impi untuk memilikinya di rumah. Sekarang sudah di depan mata, dan teman-teman menyuruhku bersauna malam itu juga. Kerja gila..tengah2 malam buta, di tengah2 rumah itu, aku bersauna. Segar terasa....(hehehhehe)

Bila habis bersauna, badan menjadi segar, mata juga terbuka dengan luasnya...apalagi, pesta bergambar kembali. Ada acara buka hadiah lagi satu......buku nota dan......(mmm.....). Terima kasih!Kami menghabiskan malam itu dengan suka hati, dengan rasa yang sungguh gembira sekali.

Malam yang panjang terasa singkat, kita menjadikan majlis ini untuk menjadikan hati semakin dekat. Kita melupakan mimpi berbirat dan membiarkan keindahan melekat erat. Kita membuktikan bahawa kita mampu berdiri kuat jika kita bermuafakat.

Buat semua teman...yang ada di majlis ini, yang datang ke RS mengucapkan selamat hari lahir dan memberi hadiah, yang menghantar ucapan lewat sms, yang meninggalkan salam pada teman, yang mengucapkannya di sz, aku amat berterima kasih atas ingatan. InsyaAllah, aku mahu terus hidup untuk 32 tahun akan datang. Aku mahu melihat keluargaku dilimpahi bahagia, aku mahu anak-anakku berjaya, aku mahu teman-temanku mempunyai keluarga, aku mahu seluruh kenalanku mencapai cita mereka. Waktu itu aku sudah tua, aku sudah tidak berdaya...namun aku mahu membekal bahagia kerana kenangan yang aku bawa hari ini, akan jadi khazanah paling berharga tatkala usiaku menggapai senja. Jikapun pada detik itu aku sudah tiada, biarlah tinggal hanya nama, yang wanginya pernah mencecah hati kalian semua.

Pada ulangtahun kelahiran ke 32, aku mahu menulis ini....buat tatapan kita semua....

Aku mahu memberi bahagia
(sempena ulangtahun ke 32...11 Mei 2006)

Gedung hati makin sarat
Tanggungjawab makin berat
Bersilang kudrat dan keringat
Restui perjalanan hayat
Limpahi segala berkat

Aku mahu memberimu bahagia
Menyeka airmatamu waktu duka
Membalut impianmu dengan nyata
Menenggelamkan kekabutan rasa
Menjengahkan hari-hari ceria
Pada satu ketika biar hanya sedetik cuma
Aku mahu melihatmu tersenyum bahagia
Dalam peluk, doa, kasih dan mesra
Seorang aku, seorang manusia

Detik-detik tidakkan berulang
Mahu kuberikan bahagia untuk kau bawa pulang
Menghadiahkan kenangan untuk dikenang
Pada waktu yang masih diberikan ruang
Pada masa yang masih ku berpeluang.

SANGDEWI.11 MEI 2006