~Jalan Kenangan~ Sangdewi~

Sepanjang jalan kenangan, banyak kisah yang datang dan ditinggalkan, banyak cerita yang dijadikan teladan dan sempadan.Sepanjang jalan kenangan semalam yang tidak pernah padam, kenangan hari ini yang terus bersemi, kenangan akan datang yang akan menjelang.Sepanjang jalan kenangan ini, di sini aku berdiri atas nama insani.

Friday, December 31, 2004

31 DISEMBER

Hari terakhir pada tahun 2004. Aku menulis sewaktu di pejabat. Banyak perkara yang mahu dicatat.Disket di otak bagai sudah tidak muat.

Di hari terakhir ini, ada trivia kisah hidup 2004 yang mahu kuingati. Antara rencah manis, pahit, masin, masam, tawar, aku memilih hanya yang manis-manis untuk dijadikan penawar.

Peristiwa manis dan best 2004:

1) Berjaya melaksanakan majlis hari lahir `dia', seorang mengerah tenaga, memikir dan membuat kira, dalam kepala macam-macam perkara direka dan aku hanya memilih apa yang `dia' suka.
Rumah tepi tasik itu pada pandang pertama, aku sudah terkesima, walau tahu ianya hanya santapan mata. Aku seolah tertanya, milik siapa? Mahu rasanya melihat dari dekat, agar dapat kulihat.

Siapa sangka, selang beberapa purnama, tanpa sedar dan tidak sangka, aku dan `dia' diberi peluang menjejaknya. Semua ini berlaku tanpa sengaja. Dan aku kembali terdetik, nah ini tempatnya.

Sempena hari lahir `dia', aku sudah bersedia. Tempat ini akan membuatnya terperanjat. Aku kemudian terpaksa berpakat agar semua ahli keluarga bersubahat. Mengajak teman2 terdekat, dan semua pihak yang pernah bekerja kuat. Ada juga di kalangan peminat.

Aku mempersiapkan segala. Impiannya majlis santai, berkemah putih, suasana hijau dan di tepi tasik atau pantai. Aku pernah dengar itu hasratnya, dan aku mahu membuatnya hingga tercapai.

Apalagi yang membuatku gembira. Semuanya sudah terlaksana. Dia datang dengan ditutup mata. Dipimpin tangan dua saudara. Kami yang hadir senyum dan ketawa. Melihat dia bagai terpinga-pinga. Balutan mata dibuka, lagu hari jadi bergema, di sekelilingnya adalah kami semua.

Aku tahu, dia gembira. Sudah cukup untuk membuat gembiraku berganda. Hari ini kita dapat bersua, bersemuka, dan lihatlah yang kubawa di majlis ini, adalah orang-orang yang telah banyak berjasa, walaupun tidak semua ada.


2)Syarikat melebarkan sayap niaga. Hanya dengan mencuba, sudah ada buah tangan `dia'.
3D, SS, Muzikal AidilAdha adalah sebahagiannya dan juga Ctea yang punya 2 perisa. Semua ini kerja keras yang berlipat ganda. Bermula dari bawah, insyaAllah kita akan berjaya.

3)SNFT berjaya dilaksana. Usaha sekian lama akhirnya berjaya jua. Hasrat mengadakannya secara percuma sudah lama terimpi, dan kejayaan mengadakannya begitu menggembirakan hati.

4)SNIT di negara jiran. Sesuatu yang dulunya dikata sukar ditembus, kita tidak boleh putus harap, dan hasilnya kini mereka sudah telus. Menerima bakat, memberi semangat.

5)Proses tumbesaran PSNN junior, meniarap, merangkak, bertatih dan sudahpun berjalan. Kedewasaan PSNN juga, yang semakin hari semakin keletahnya tak terlayan.

6)Membeli handphone untuk hadiah pada hari jadi sendiri. Handphone pertama yang dibeli dari duit sendiri. Begitu menggembirakan hati.

7)Pindah ke rumah milik sendiri. Merenovasi ikut kehendak diri. Ada bilik pejabat sendiri yang hingga kini belum dikemas lagi.

8)Hari lahir yang disambut penuh misteri.Tayangan yang begitu menyentuh hati.

9)Percutian ke Genting bersama Papa, PSNN, PSNN Junior, R dan seorang teman. Inilah nikmatnya, jarang sekali dapat bersama.

10)Merancang untuk berdikari.Mahu berusaha sendiri. Tak sabar menanti kewujudan``Resepi Sangdewi''.

11)Berjaya ke `Royal Albert Hall' tahun depan nanti. Usaha tahun ini, tahun depan menjadi saksi.

Angka 11 yang best!

Penutup tahun 2004 ini, hari lahir ibu mentua yang dikasihi. Doa dipanjat agar perjalanan hari-hari ibu akan terus diberkati.

Thursday, December 30, 2004

Kembali menulis di akhir Disember, menjelang tahun baru 2005. Nyata 2004 begitu sibuk dan tidak berkesempatan mencuri banyak waktu di blog ini. 2005 tentu ada lakaran baru dan motivasi untuk menulis saban hari. Tunggu sahaja bagaimana sudahnya nanti.

Terakhir menulis Mei lalu, bulan penting dalam hidup seorang aku. Mei menyaksikan aku seorang insan nun jauh di pelusuk pusat semenanjung dilahirkan. Mei juga selalunya menyentuh hati apabila ada yang mengingati dan menghargai. Tidak kurang juga Mei membuatkan aku sentiasa sedar bahawa usia yang meningkat adalah satu kebanggaan. Banyak yang kulalui dan kudepani.Banyak kurasai dan kuhadapi. Mana mungkin setiap detik yang kulalui akan rasa berharga jika hati tidak pernah terbit rasa syukur.Kepada Tuhan, syukur kerana aku masih di sini.

JUN

Bermula bulan sibuk.SNFT membuka perjalanan seterusnya `dia'.Menzahirkan rasa terima kasih `dia' kepada semua yang selalu menyokongnya. Bermula di utara, cabaran melanda.Ribut yang menerpa, memusnah segala. Hanya berapa detik SNFT yang pertama bakal bermula, semua yang dicita membawa hampa.

Saat melihat kepul awal hitam, aku dapat menelah impian akan padam. Hati menjadi remuk redam tapi semua ini adalah adat resam.Tidak mengapa, kuurut dada. Aku harus jadi penguat untuk semua.Berpaut pada tiangku, kita tidak akan pernah rasa buntu.

Malam yang dirasakan panjang. Tidurku bagai tak beranjang.Duhai hati...selesalah.....teruskan bermimpi indah.Aku tidak mahu berfikir lagi, semua ini dugaan dari Illahi.Hikmahnya tersembunyi, aku mengunci diri, berserah sepenuh hati, dan di dalam hati..aku semakin mengerti.....kamilah insan yang sedang diuji.

Tabah, meneruskan lagi SNFT.

Lokasi demi lokasi kami jelajah. Singgah dan singgah. Menghibur dan berkongsi hari indah. Dalam senang, dalam susah, inilah arus yang kami tongkah. Bersama melalui, menghadapi dan setiap hari yang terisi, memberi seribu satu erti.

JULAI.

SNFT di beberapa negeri dan daerah. Perjalanan yang menyaksikan aku berhadapan dengan bermacam-macam kisah. Semua ini tercatat di minda, tidak sekali membuat aku terlupa.

OGOS.

SNFT diteruskan. Menuju ke kemuncak pada 21 Ogos. Kisah pahit menerpa. Entah apa jenis manusia aku tidak pernah terduga. Janganlah seteruk ini! Derita `dia' harap boleh dirasa `bersama'. Aku juga terkena tempiasnya. Jahat sungguh perbuatan, ada juga manusia berhati syaitan.

Kemuncak SNFT. Mengumpul kekuatan. Benteng yang terbina dipertahankan. Benteng itu adalah hati. Jika ada kekebalan diri, kita mampu jadi srikandi.

Aku dan `semua' menyaksikan `dia' menangis. Sedih, bukan? Airmata, itulah penyudahnya.Kesal dengan kata-kata berbisa, nista. Emel itu begitu menghina.

Menempuh hari-hari dengan dugaan lebih hebat, bertemu ramai orang, saudara, kenalan dan sahabat.Menjawab pada yang bertanya, terasa penat. Mahu lari rasanya walaupun tiada kudrat. Baik aku, baik `dia', kami menutup mulut..rapat.

SEPTEMBER & OKTOBER

Kisah `emel' tak berkesudah. Membuat laporan demi maruah. Melalui hari-hari dengan tenang walaupun payah. Apa yang tersemat di minda hanya pasrah dan menyerahkan segalanya pada Allah. Yakin, di situ sahaja kita berserah.

Rezeki di negara jiran. SNIT pula penerus jalan. Mengutip pengalaman, melakarkan kenangan. Daerah Jogjakarta pembuka jalan. Sarat budaya, layanan bersopan.

Ramadhan menjengah. `Dia' menunaikan umrah, aku di sini meneruskan amanah.

4 OKTOBER-Selamat ulangtahun Puteraku, Nabil.

PUTERAKU

Mimpi seorang ibu
Sebelum kelahiranmu
Menjadi nyata setahun lalu
Apakah ini Dejavu

Wajahmu seindah maksud Nabil
Moga akalmu seerti Nabhan
Setiap kali suaramu memanggil
Tidakkan pernah tak tertolehkan

Putera Saiful Nabil Nabhan
Dikau kekasih dikau kesayangan
Di hati bonda yang melahirkan
Di hati Papa yang sama membesarkan

Jadilah Putera di mana hatinya waja
Jadilah Saiful cekal berdepan segala
Jadilah Nabil secantik budi dan rupa
Jadilah Nabhan insan yang bijaksana

SANGDEWI.
4 OKTOBER 2004


NOVEMBER

Syawal tiba. SNIT ke Surabaya meneruskan acara. 5-6 hari di sana, semua perkara terlaksana.
Mmmmmm......cukup terkesan saat ini. Aku telah lama menghilangkan kepercayaan diri buat yang seorang ini. Sedih yang berulang kali, kekesalan yang telah banyak kali dimaafi. Dan..akhirnya berlaku lagi. Begitu melukakan...apa yang kuharap, tak menjadi seperti kemahuan.

27 November-Hari ulangtahun perkahwinan ke 6. Apa yang paling indah dalam sebuah ikatan?
Kepercayaan dan kejujuran. Bersedialah untuk bersetuju untuk perkara ini, jika tidak hari ini kita mahu mengakui, sehingga mati nanti, kita akan menyesali.

Setelah 6 tahun (ulangtahun perkahwinanku)

Setelah enam tahun
Ku tak bermimpi untuk hidup di gurun
Gersang tanpa titis embun
Yang mengusap dingin ubun

Tempoh ini bukan waktu menelah
Bukan juga detik datang, pergi atau singgah
Bukan memberi betul, menuding salah
Tapi mencari pangkal supaya bertemu penyudah

Akulah wanita
Akulah isteri
Akulah ibu

Setiap hari yang berlalu
Aku sentiasa berterima kasih denganmu

SANGDEWI.
27 November 2004.


Ada majlis Syawal, rumah terbuka, sahabat dan keluarga. Di rumah sendiri ku buat serba sederhana. Memasak dari pagi, mempersiapkan apa yang terdaya.

Majlis penghargaan buat seluruh warga SNFT pula dirancang. Sekaligus dengan pelancaran kaset dan cd SNFT sebagai koleksi dikenang. Agak payah bekerja seorang, bagai badan tak bertulang. Jika tidak gemilang, cukup jika ianya dipandang cemerlang. Inilah upaya dalam kudratku nan seorang.

Aku masih dalam kesedihan yang penuh kekesalan. Apa lagi daya, jika semuanya sudah tidak lagi bermaya.

DISEMBER

Pelancaran CTEA. Serba sederhana. Satu lagi usaha `dia'.

Meneruskan SNIT di Jakarta kemudian ke Makassar.

Pada satu-satu ketika, aku rasa dalam sedar atau tidak, aku ini diuji dengan masa. Dalam sengaja atau terleka, aku terkadang terlupa bahawa bukan selamanya aku ada bersama siapa-siapa. Aku harus menilai diri, menoleh apa yang terjadi. Jauh di hati kecilku ini, aku semakin menyedari, jika ada jarak, kita akan didekati, jika jarak itu sudah dihubungi, kita ini dianggap mati. Akulah orangnya.........yang diperlu, dan kemudian dibiar begitu.

2005 akan datang. Doaku untuk tahun ini panjang. Untuk keluarga ``Allahyarham Haji Abdul Razak Bin Haji Tapar''......biarlah derita datang bertimpa-timpa, biarlah kita diduga bermacam perkara, biarlah hidup kita terpisah kerana kasta manusia, aku hanya mahu menjadi pembela.


PUTERAKU YANG SATU (sempena ulangtahun ke 4)

Puteraku yang seorang ini
Adalah susuk yang selalu dirindui
Apa bicara yang tidak mengusik hati
Tidak henti dari pagi ke dinihari

Mulutnya bagai bertih jagung
Sekali tanya, terjawab bergunung
Jiwa sensitif cepat murung
Siang ke malam duka diusung

Akan ku beri gembira
Mahunya hanya kereta, kereta dan kereta
Mainan itulah pengubat hatinya
Dalam pergi dan pulangku ke mana jua

Puteraku yang satu ini
Bijak mengisi hari-hari
Jarang bersua sibukku ke sana sini
Di usia mentah ini dia berdikari

Empat tahun sudah usia Puteraku
A,B, C sudah lancar begitu
Kadangkala pintar berlagu
Hebat pula bercerita hantu
Cepat juga mengambil tahu
Tangkas dalam gerak laku
Itulah Puteraku yang satu.

SANGDEWI.
20 DISEMBER 2004.