~Jalan Kenangan~ Sangdewi~

Sepanjang jalan kenangan, banyak kisah yang datang dan ditinggalkan, banyak cerita yang dijadikan teladan dan sempadan.Sepanjang jalan kenangan semalam yang tidak pernah padam, kenangan hari ini yang terus bersemi, kenangan akan datang yang akan menjelang.Sepanjang jalan kenangan ini, di sini aku berdiri atas nama insani.

Monday, January 03, 2005

1 JAN 2005

Tahun baru.Takwim baru.Hasrat untuk menghabiskan seharian dengan aktiviti yang dirancang dalam kepala sejak semalam nampaknya menemui jalan buntu apabila ada hati yang membatu. Sungguh rugi perjalanan saat ke minit ke jam sepanjang hari ini. Bosan tak terbendung lagi.Apa yang boleh dibuat hanya duduk goyang kaki dan menonton tv.

Bertahan sahaja melalui perjalanan hidup hari ini. Mahu rehat sepuasnya hanya kata hati, tapi dalam hati begitu panjang anganan langkah kaki. Akhirnya aku di sini....di rumah sendiri.

2 JAN 2005

Bangun pagi menonton Melodi. Bersiap untuk keluar setelah semalam di rumah sahaja sepanjang hari. Ke LM, tempat yang hampir 2 bulan tak aku kunjungi. Membeli beberapa keperluan, terasa lama sungguh aku tak seperti hari ini berjalan-jalan. Lega dalam hati, gembira tak terperi walaupun tidak lama di sini, aku puas dengan apa yang aku rasai.

Balik ke rumah, kemudian keluar lagi untuk mendaftar PSNN ke sekolah. Aku memilih Smart Reader Kids yang baru beroperasi tidak jauh dari rumah. Walaupun aku agak terlewat mendaftar PSNN ke tempat itu, tapi aku gembira kerana hari ini dapat bersemuka dengan pengetua atau guru di situ.

Aku bercerita, bersuai kenal, bertanya, memberitahu, pendek kata lengkap segala yang aku ingin tahu tentang Smart Reader dan juga mereka juga tahu tentang puteraku itu. Segala bimbangku tamat di situ. Walaupun biaya untuk ke sekolah itu bagi aku agak mahal daripada sekolah biasa, tapi inilah pelaburan masa muka. Aku ingin PSNN berjaya kerana inilah sekolahnya yang pertama. Di sini dia akan melakar masa depannya, di sini juga dia akan dibentuk mindanya.

Puas hati. Keluar makan nun jauh di Bangi. Bercerita dan malam yang panjang pun terisi. Berbicara hati ke hati.

Pulang ke rumah, PSNN sudah dibuai mimpi. Aku juga seringkali terjaga dan sukar untuk menutup mata lagi. Jam 4 pagi ke jam 7 pagi, aku menghabiskan masa membaca dan menunggu waktu yang sesuai membangunkan PSNN pagi ini.

3 JAN 2005

Cabaran ibu mithali. Mengejutkan PSNN payah sekali. Jam 7.30 pagi, PSNN tidak bangun lagi. Aku mengejutkannya beberapa kali, hanya tangisan yang mengiringi. Aku faham, sukar untuk PSNN menerima perubahan ini. Selama ini, PSNN hanya bangun apabila matahari sudah meninggi.

Beberapa kali kucuba dengan pelbagai bicara, kupujuk manja dan dalam lesu, PSNN bangun juga. Mandi di pagi hari, sejuk katanya. Aku mandikan dengan air suam pula. Setelah dipakaikan baju dan bersiap segala, PSNN nampak ceria. Nampak bersedia.

Bersama teman, aku membawa PSNN ke sekolah pertamanya pagi ini. Papa tidak ada, masih di luar KL dengan urusan keluarga. Menghantar PSNN ke Smart Reader, sudah ramai ibu bapa yang ada. Aku menyertai mereka. Melihat gelagat anak-anak lain, ada tangis dan tawa. Tak kurang yang tidak mahu berenggang. PSNN nampak matang, dia boleh ditinggal seorang.

Aku tidak mahu lama di situ, kuhantar PSNN ke kelas. Aku tidak mahu guru-guru di situ berasa rimas.

Hanya 2 jam sesi sekolah hari ini. Aku mengambil PSNN dengan senang hati apabila dia memberitahuku mahu ke sekolah lagi. Cukup menghiburkan hati apabila mendengarkan PSNN mahu ke sekolah lagi. Hari pertamanya bukan mimpi ngeri tapi hari yang penuh erti.

`Dia' ada fotografi hari ini. Walaupun tidak cukup tidur, aku meneruskan kerja yang dijanji. Sejak pagi ke tengah hari, perut masih belum terisi. PSNN ke sekolah, aku pula yang gelabah. Hati seorang ibu, selalu memikirkan sukar, tapi aku akur, inilah masanya PSNN harus belajar. Dan hari ini PSNN membuktikan, aku tidak silap, sejak kecil lagi dia sudah siap.

Jika ada persoalan dan pertanyaan, tinggalkan tanpa jawapan. Aku tidak apa-apa, cuma sedikit terkilan.