~Jalan Kenangan~ Sangdewi~

Sepanjang jalan kenangan, banyak kisah yang datang dan ditinggalkan, banyak cerita yang dijadikan teladan dan sempadan.Sepanjang jalan kenangan semalam yang tidak pernah padam, kenangan hari ini yang terus bersemi, kenangan akan datang yang akan menjelang.Sepanjang jalan kenangan ini, di sini aku berdiri atas nama insani.

Friday, March 25, 2005

15 MAC

Sibuk sekali.Bagai masa tak berhenti.Tak mampu mengejar kerna itu senja hari aku masih lagi di pejabat walaupun sudah tidak larat. Mengenangkan anak-anak di rumah, jiwa aku gundah.Membilang hari untuk ke luar negara, namun aku masih tidak peruntukkan banyak masa buat mereka.

Senja kali ini berbeza sekali dengan senja-senja sebelum ini. Senja ini Tuhan memberitahuku satu perkara yang sungguh takku duga.Senja kali ini adalah saksi bahawa tidak semua yang ada di sekeliling kita ini sehati. Aku tidak terkata apa, sedih dan kecewa datang menerpa.

Sungguh menyakitkan, dan selepas mengetahui semua ini, aku melewati malam hariku dengan penuh kehampaan.

16 MAC

Sukar.Tuhan, walau aku di luar sabar, berikan aku semangat, jangan biarkan hatiku gusar.Seharian ini aku meratap dalam hati, kosong dan sedih hati.

17 MAC

Aku tahu aku sentiasa malang.Tahu bahawa tidak semua orang senang.Aku juga tidak selalunya berpeluang.Lebih tahu apa yang ada dalam hatiku seorang. Aku adalah insan yang hilang, jauh dari kasih sayang, jauh dari mewah dan senang, jauh dari bijak kepalang...jauh dari segi perkara yang dianggap cemerlang, gemilang dan terbilang.

Tetapi demi hidup yang harus terus ke hadapan, aku lalui semua ini, dengan cemuhan, umpatan atau rasa yang tidak menyenangkan.Terima kasih atas semua rasa kalian kerana aku adalah manusia sedar diri dan mengerti bahawa aku wajar untuk dibenci, dicaci maki dan anggaplah diriku tiada erti.

Hati menangis siapa tahu....????

18 MAC

Nazak dalam sesak. Melakukan perkara yang banyak sedang hati masih membengkak.

19 MAC

Jika ada hari-hari kalian yang indah, aku mohon disedekah, kerana tiap hariku penuh dengan gundah.

20 MAC

Hari penentuan `dia'. Mengadakan apa yang semestinya diadakan di RAH kelak.Dua jam lebih penuh dengan rentak dan gerak.Semakin yakin utk terus melangkah, biar bermula dari merangkak, kelak akan sampai ke puncak.

21 MAC

Bukan kulakukan untuk kepentingan diri, bukan juga untuk membukti diri tetapi ingin menyuruh berfikir sendiri. Kita ini air yang mengalir bersama, sampai ke muara kemudian ke laut lepas, kita bebas membawa arah haluan tetapi di kelompok mana sekalipun, kita ini masih air, masih mengalir. Jika kita hanya mahu berada di sungai saja, pilih sendiri atau kita mahu ke laut luas, teruslah gagahi atau hanya mahu di sini, di tasik sepi, jauh dari segala apa yang membawa ke alam tidak diketahui.

Ingin ku lepaskan saja rasa.Bawalah semua ni ke alam ceritera diri semua.Aku bukan penglipur lara, aku bukan teman dalam suka dan duka, aku bukan orang yang harus didamping bersama, aku hanya diri seorang aku yang kaku, bilamana semua sengketa yang tak berpunca, berbaliknya pada aku pula.

22 MAC

Sudah tiada batas.Aku menangis sepuas-puas.Hebat sungguh dugaan yang satu ini, aku jadi kosong dan wajar dilepas. Aku akan tinggalkan semua ini, aku mahu hidup sendiri, aku akan pulangkan segala yang pernah kumiliki, kusayangi kerana apa yang lebih penting adalah kebahagiaan kalian yang abadi.

Letaklah semuanya di atas kepalaku, bunuh terus biar aku tidak lagi bernyawa.Pancung luluh hati dan tubuhku, biar putus dan aku MAMPUS!

Hinalah aku sepuas-puasnya.Hina..hinalah.....walau sekurang-kurangnya ada setitik jasa, aku rela dihina.Buang semua.Humban aku sejauhnya. Aku rela malah aku yang akan pergi dengan rela. Kita noktah di sini........noktah sahaja.Tiba harinya aku akan melangkah.....tidak perlu tunggu lama.

23 MAC

Hari berangkat ke London masih belum siap. Hidup aku gelap. Walaupun inilah antara impianku untuk `dia' tapi aku tidak tahu, aku kosong dan membeku.

Bersiap ke KLIA.Tiba awal, berjumpa dengan orang2 yang ku kenal.Sambut jabat tanganku, genggam selama mana mahumu.Jika masih sudi menunggu atau menyebut namaku, senyumlah untuk kutinggalkan segala dukaku.Kalian.....jujur sahaja cukup untuk jadi penawar. Aku tidak minta lebih cuma tidak mahu tersalah memilih.

11.55pm-Menuju ke London.Buat `dia', aku pernah ada angan untuk membawamu terbang, walau sayapku tidak terpasang, kakiku sedikit tempang tetapi aku berkudrat kerna kau kujulang. Aku juga pernah ingin membawamu ke puncak, walau kakiku sukar bergerak dan sebelah tanganku bengkak, tetapi kerana aku tahu ini adalah kehendak, aku rela menabur bakti dalam nafas yang sesak. Namun...bila tiba harinya aku mahu terbang dan membawamu ke puncak, hatiku sudah terpasak, aku tak dapat mengelak, aku telah dihenyak, dibentak, dan kerna semua itu, suaraku putus di tekak. Malam ini, aku bersamamu, ingin menggapai citamu, di sana nanti kau akan mencapai mercu dan aku akan berlalu selepas itu.

Kalian yang aku tahu nama dan dirimu tetapi aku akan menutup buku, puaskah hati untuk semua ini, atau masih belum puas untuk melihatku masih di sini? Jangan bimbang..aku tentu akan pergi, membawa semua ceritera hitam ini. Bersoraklah kalian sepuas hati........berdirilah atas kebahagiaan yang diperoleh dari hati orang lain yang dilukai.

24 MAC-Tiba di London jam 7 pagi. Bertolak ke apartment penginapan yang best sekali. Hujan menyambut kedatangan kami ke sini. Berehat2 dan kemudian ke kedai Datuk Jimmy. Mahu menempah kasut untuk RAH, disambut dengan senang hati oleh Datuk yang baik hati, dihadiahkan 2 sepatu sekali. Murahnya hati.

Kemudian kembali ke apartment, berehat dan makan tengah hari.

Wednesday, March 09, 2005

KISAH JANUARI

4 Jan-Ke Kuantan, ada undangan untuk majlis hari lahir menantu kesayangan Sultan. Majlis santai, acara nyanyian bagai menghiburkan mempelai. Empunya hari lahir tersenyum gembira, sudah jadi kawan rapat `dia'. Dari lagu ke lagu, duduk dan kembali berlagu, duduk, dan berlagu, berlagu terus berlagu.Sudah tahu benar ragam majlis sebegini, tidak mengapa kerana semuanya berpuas hati. Hasrat mahu terus pulang, badan penat tidak kepalang. Papa mengambil keputusan tidak pulang terus malam itu ke KL besar, pagi esok sahaja, pada jam berapa yang tersedar.

6 Jan- Acara `dia' di HS di PJ. Majlis amal bakti, ramai yang datang nampaknya berpuas hati. Acara setengah jam menjadi hampir 1 1/2 jam. Tidak penting waktunya, sajian hiburan berlagu merdu tentunya tidak membosankan orang yang menunggu.

8 Jan-`Dia' diundang ke stesen A untuk menjayakan acara anugerah. Satu penghormatan yang bukan mudah.Diterima di khalayak yang berbeza bangsa dan agama namun suara terus bergema.Tepuk dan sorak mereka di situ menjadi semangatkan `dia' terus bersemarak.

10 Jan-Bertolak ke negara matahari terbit.Dua tahun lalu pernah ke sini, meninggalkan puisi dan madah rindu untuk teman2 yang sanggup bersama dalam senang dan sakit. Pantun sindir dan cuit, usik kepada sesiapa yang terkait. Kali ini tidak lagi begitu, semuanya sudah jadi bisu dan beku. Sampai di destinasi sekitar jam 8 malam, bertolak ke hotel meredah malam kelam. Sampai di hotel terus merebahkan diri ke tilam, lapar bagai nak pitam. Mulalah menyesal sebab tak bawa bekal.Biasanya segala makanan dibawa terutamanya sambal. Bila dah sampai ke sini, apa lagi yang boleh dimakan...aduh sekali lagi menyesal. Berpakat dengan Mr.Suzuki, untuk carikan kek, lilin dan snack untuk satu acara istimewa lewat malam ini. Oleh kerana sudah lewat, hanya aiskrim dan strawberi menggantikan kek kerana itu sahaja yang sempat.

11 Jan (tepat jam 12 malam)-Semua sudah berkumpul di kamarku.Kamar `dia' bersambung sebelahan dengan kamarku.Bila semuanya sudah bersedia, kami menolak troli aiskrim/strawberi ke kamar `dia'.`Surprise'!!!!!! Happy bitrhday to you, happy birthday to you. Ucap selamat tanpa kad, tanpa hadiah, cuma ini sahaja yang mampu. Biar dalam suka, duka, marah, benci mu, aku takkan pernah berlalu kecuali jika ditentukan waktu.
Malam-`Dia' melaksanakan tanggungjawabnya, menerima pujian semua.Satu lagi hari yang istimewa dan bahagia.Arigato!

12 Jan-Sayonara!

17-18 Jan-`Dia' di IB. Menyalurkan apa yang ada mengikut cara `dia'.

20 Jan-Hasrat pulang ke kampung tergendala. Jam di mana-mana. Berpatah balik makanya tak jadi balik. Tak pernah balik beraya di pagi raya, apalah rasanya ya.

21 Jan-Hari raya AidilAdha. Agak lewat bertolak ke KL kecil.Singgah di rumah keluargaku dahulu, hajat korban aku kali ni tercapai, moga berkat segala yang ku lalu. Lewat petang baru ke rumah mentua.

22 Jan-Ada majlis kecil di rumah mentua, menjamu sesiapa yang tiba termasuk kenalan dan saudara mara. Kemudian bergegas ke KL besar semula, malam ini `dia' ada acara. Penganugerahan dari Best Brands, naik lagi setangga.Tahniah!

25 Jan-Sibuk dengan persiapan akhir untuk satu acara khas `dia' di stesen A. Ada beberapa idea baik, aku fikir ianya akan jadi lebih menarik.

29 Jan-31 Jan-Latihan acara `dia' di A. Setiap hari semakin bagus.Lambang kerja keras dan bertungkus lumus.


KISAH FEBRUARI

1 Feb-Hari rakaman `dia' di stesen A. Berdebar dan rasa bimbang menantikan reaksi yang datang.Entah salah atau tidak seleksi dan pilihan. Selalunya aku yakin tapi kali ini macam-macam bermain. Alhamdulillah, ramai yang suka.Aku tumpang gembira kerana adakala benda yang terbit dalam otak aku ni bukannya mewakili semua citarasa. Seperti selalunya, aku ada alasan mengapa malam ini boleh tidur lena.

2 Feb-Ke Bangkok untuk MTVAA.Nostalgia bila tiba di sini, tahun 1991 menggamit memori. Berbekalkan hadiah pesta pantun, aku, 3 rakan pemantun lain dan 3 orang guru ke ibu negara ini. Manisnya waktu itu kerana aku masih belum hilang dari makna diriku. Aku merindui diri aku pada saat itu.
Tiba di hotel, berehat dan terus ke tempat latihan. `Dia' memberikan yang terbaik daripadanya. Suka memerhati bila ada orang terkesima mendengar suaranya. Lebih-lebih lagi jika orang itu berbeza bangsa.

3 Feb-Ke tempat acara MTVAA.Bersiap sedia seawal jam 3.30 petang. Acara bermula jam 5.30 petang. `Dia' melalui red carpet terlebih dahulu, aku seperti biasa tidak ikut serta dan lebih suka menunggu. Sempat juga mengerling beberapa nama popular yang lalu di depanku.Di sini, semuanya berkumpul untuk satu tujuan yang sama.......memberi dan membantu. Tahniah! `Dia' mengungguli untuk tahun keempat. Hasil kerja kuat dan sokongan peminat. Malam itu di pentas baru, `dia' memberikan kita satu rasa bahawa letaklah `dia' di mana-mana, kita tidakkan rasa ragu. Selepas habis acara, pulang ke hotel. Ada acara lagi rupanya, kali ini `dia' yang merencana. Tepat jam 12 malam, hari lahir Papa. Kek dan makanan terhidang di meja. Agak meriah bila berkumpul beramai-ramai. Aku mendoakan yang terbaik buat Papa, moga segala impian dan cita akan tercapai. Usia kedewasaan adalah kematangan dan mengenal diri, serta melengkapi setiap ruang kosong yang masih belum kita terokai. Selamat Hari Lahir Sayang.........

4 Feb-Kembali ke KL besar. Sampai di airport terus di bawa ke tempat acara sambutan hari lahir Papa. Ramai yang telah berada di sana. Meriahnya tahun ini, ramai yang menyayangi.
Aku sejak 2 hari lepas telah berkira-kira untuk meraikan Papa, tidak di tempat mewah hanya di rumah. Tapi bila mengenangkan satu hal, sambutan itu jadi batal. Ya...apa guna jika aku berbuat segalanya tetapi tidak ada siapa yang hadir, bukankah ianya membazir. Ya..kita telah hilang satu demi satu demi satu. Ayam masak asam pedas mungkin akan tinggal kenangan bersama soal hati dan perasaan serta rasa kepercayaan.

5 Feb-Ada acara di Mines. `Dia' mempromosikan acaranya di RAH April nanti.

6 Feb-Papa ke London, aku dan PSNN menghantar ke KLIA.

7-8 Feb-Papa tiada, aku harus menggalas semua. Habis waktu pejabat, rumahlah tempat aku melekat.

9 Feb-Pagi-pagi lagi dah bergerak ke KLIA. Aku lambat tiba, Papa dah sampai lama.

10 Feb-Bertolak pula ke Terengganu. Sampai di SBR, tempat penginapan yang dekat sangat dengan pantai dan ombak. Rasa takut mula membuak.Tak berani buka pintu yang mengadap laut, kalau jadi apa-apa, memanglah takde tempat nak berpaut, bertarunglah aku dengan maut. Inilah yang aku fikir sejak mula tiba di sini. Ganas betul ombak kali ni. Ada pula berita yang ngeri, di pantai sebelah ada 4-6 orang mati. Aduh...aku dah semakin takut, kecut perut. PSNN ikut sama. Bila hari dah petang, PSNN asyik pujuk aku nak mandi kolam, kalau nak mandi laut tentulah aku tak setuju punya.
Malam-`Dia' menjalani latihan. PSNN pula lagaknya macam orang yang nak buat persembahan. Kat pentas tu berlari ke sana sini, tak terhalang dah,takpelah itu latihan untuk jadi berani.

11 Feb-Dah nak masuk tengah hari, barulah aku bawa PSNN ke kolam untuk mandi. Bila dah petang sikit, ada perbincangan untuk persembahan malam ini.Lepas tu barulah `dia' bersiap sedia untuk ke tempat acara. Alamak, kat pintu masuk tempat acara tu macam ada orang yang tak suka, segelintir sahaja. Kesian..apa faedahnya. Orang yang kat dalam ni sibuk berbuat sesuatu untuk beramal membantu golongan yang memerlukan, yang kat luar berbuat sesuatu yang tak ada tujuan. Acara `dia' menghiburkan, menghilangkan kerinduan. Hampir 6 tahun tidak ke sini, malam ini melerai rindu di hati.

12 Feb-Balik ke KL besar.

13 Feb-Ada nama diperkata di dada akhbar. Itulah namanya suasana sukar. Selalu benar berada dalam keadaan serba salah, nak cakap payah, tak cakap payah. Aku tahu apa tugas aku, jika tak setuju, bukan salah aku. Tapi, apakah aku bersalah jika aku berbuat begitu hanya pada seorang sahaja daripada profesimu iaitu dirimu? Semuanya kerana `dia', aku sentiasa di depan `dia'.Biar aku yang kena, tidak mengapa.

14 Feb-Aku membawa `dia' ke majlis di mana namaku di sebut dalam akhbar itu semalam. Aku profesional, tidak emosional. Aku nampak orang yang menulis tentang aku, bila ke arahnya, aku tahu dia kelu. Aku bersahaja, bersalam dan menyapa. `Dia' terpilih antara calon akhir untuk acara anugerah ini. Tahniah sekali lagi untuk tahun yang ke 7 kali.

15 Feb-`Dia' ada latihan untuk APM di PJ. Sekejap sahaja, selepas itu kami merambu ramba.

16 Feb-Bertolak ke Singapura setelah sekian lama. Sampai di hotel, berehat sekejap sahaja kemudian terus ke tempat acara. Menjalani latihan 3 diva. Masih mencari kesesuaian walaupun sudah cukup hebat kelihatan. Selepas latihan, terus ke shopping mall, acara wajib kalau ke Singapura. Mungkin belum berjumpa apa yang dicari, aku hanya jadi pemerhati dan menemani. Tidak ada apa yang dibeli.

17 Feb-Ada sidang media, kemudian diatur beberapa wawancara untuk `dia'. Selepas itu, ke tempat acara, disuruh datang awal, sedangkan yang lain masih belum tiba.Mengambil keputusan untuk kembali ke hotel, kalau tidak masa terbuang begitu saja.

18 Feb-Masih sempat ke shopping mall, membeli apa yang perlu. Pilihan kasut terlalu banyak, sukar memilih kerana semua hendak. Selepas shopping, makan dan kembali ke hotel untuk bersiap untuk acara malam ini. Alhamdulillah, ada 2 rezeki `dia' mempertahankan salah satunya untuk tahun yang ke 4. Tahniah!

19 Feb-Pulang ke KL besar.

23 Feb-Mula latihan dengan `P' untuk acara di RAH. 2 jam yang terisi dengan segala benda yang berkait dengan sendi-sendi.

25 Feb-Ada acara `dia' di Bangi. Panasnya cuaca di sini. Huh!

26 Feb-`Dia' mengikuti acara ABP di BTS. Ada peminat bertuah dapat naik kereta bersamanya, aku ikut serta.

27 Feb-Latihan bersama `P'.

28 Feb-`Dia' di MHI. Awal pagi dah bergerak ke lokasi. Malam berlatih bersama `P'.


MAC

1-3 Mac-Mulanya latihan intensif `dia' untuk acara di RAH. Hari ini bersama YWJ. Nampak perkembangan baik pada hari pertama yang menarik. Hari kedua bertambah baik, hari ketiga gerak semakin cantik.

4 Mac-Berlatih di studio bersama pemuzik. Mula dapat aura muzik sebenar. Apa yang terjadi? Malasnya nak mendepani. Lagi dan lagi.

5 Mac-Bertolak ke Terengganu. Hanya Tuhan yang tahu. Resah sepanjang waktu. `Dia' ada acara di PBR.

6 Mac-Kepada siapa aku mahu berkongsi yang satu ini. Semua ini begitu menyakiti.

7 Mac-Tuhan.....tunjukkan aku sesuatu dan aku amat berterima kasih padamu. Aku menyimpan cerita duka ini sendiri pada tarikh hari ini. Resipi Sangdewi menghulurkan bayaran 5 angka untuk bermula, ya hari ini, di atas cek yang aku tandatangani buat pertama kali. Menghantar PSNN dan junior ke bandar `B' dan abangku membawanya ke rumah keluargaku.

8 Mac-Permulaan baru. Terima kasih buat yang satu ini...dia begitu mengerti.

9 Mac-Menjalani seharianku seperti rutinku selalu. Payahnya jika begini selalu, aku mohon padaMu, sentiasa berikanku ketabahan walau di luar upayaku.

10 Mac-Tidak mahu mengenang, air mata akan berlinang. Tuhan...pandu diriku yang malang.

11 Mac-Apakah ada daya untuk meneruskan ketabahan? Ruang ini terlalu sempit untuk aku ungkaikan setiap apa yang menyiat-nyiat perasaan.

12 Mac-Perbincangan dengan kontraktor, moga dapat kos terbaik. Seterusnya ke tempat acara `dia'. Ada latihan sebelah siang, dan malam acara berlangsung gemilang. Di acara ASA, syarikat dan `dia' memperoleh anugerah sebagai MKTV Terbaik. Sekadar mencatat: Sebelum program itu dilaksana, ada 2 kertas kerja yang aku terima. Meneliti dan aku tidak setuju, bukan tidak suka tetapi aku tidak mahu dipersembahkan dengan konsep yang biasa. Aku mencuba sesuatu yang aku fikir boleh diangkat menjadi sebuah acara istimewa. Ada yang anggap aku gila bila mengundang ramai nama istimewa dengan seleksi dendangan yang dikira jarang didengar halwa telinga.Aku mahu mencubanya sahaja, tetapi aku janjikan yang istimewa. Hari ini sekali lagi aku boleh tidur lena kerana adakala pembuktian itu satu kejayaan.

Aku berbicara dengan seseorang yang degilnya bukan kepalang. Setiap yang terbisik di hati aku luahkan agar dia kembali memandang. Tatkala harus memilih.....kita akan berjumpa dengan simpang yang berselisih. Pilihlah yang mana satu, ikut apa yang kau dan aku mahu.

13 Mac-Maafkan aku pada yang satu ini.Aku mengerti dan amat menghargai sekali. Pulang ke rumah keluargaku dengan Papa.

14 Mac-Membawa kembali PSNN dan junior ke KL besar.

Sehingga ke hari aku menulis blog ini, sebenarnya banyak yang tertinggal kerana aku tidak punya banyak waktu untuk mengingatkan setiap peristiwa dari pangkal. Namun aku pasti, ada hari-hari yang tidak tertulis itu aku begitu gembira. Adakalanya aku dalam dilema dan adakala duka menghimpit rasa. Adakala aku berasa sangat rendah diri, sangat bersedih hati dan adakala aku menangis sendiri. Adakala aku mahu menulis sahaja semua yang kurasa tapi aku tahu ada hati yang harus ku jaga. Adakala aku mahu sahaja membuang semua yang aku alami tetapi gerak hati mahu menyimpan semua ini dalam tulisan memori. Aku terlalu ingin menulis surat.....yang judulnya telah lama ada iaitu SURAT KEPADA GEMBIRA.
Mengapa surat itu kepada gembira? Aku tidak mahu menjawabnya di sini kerana aku telah menguncinya di dalam hati.

SURAT KEPADA GEMBIRA
(untuk yang aku kenal, nampak, tidak begitu kenal, aku suka, tidak suka,
aku curiga, aku marah, aku geram, aku berkecil hati)

Surat ini bukan di atas sehelai kertas,
Alamatnya tidak khusus tidak khas,
Ditujukan secara nyata dan kias,
Secara baik juga secara pedas.

Aku kenal orang-orang ini
Aku anggap seperti adik dan saudara sendiri
Sejak mereka hadir yang lain ke tepi
Bagai meletakkannya di tempat paling tinggi.

Aku kenal mereka itu
Yang ada di depan mataku jarang2 dan selalu
Pernah ada rasa hormat dan rajin bertemu
Kini mulut bisu dan bahasa jadi kaku.

Aku kenal setiap seorang itu, ini
Yang agak jauh dan ada dekat sekali
Sayangnya bagai sekam dimakan api
Senyap tapi akhirnya tak tersembunyi

Surat ini kepada gembira
Yang tahu tentang siapa mereka
Yang tahu siapa sebaliknya
Yang tahu apakah punca

Surat ini kepada gembira
Yang selalu memberiku berita
Mengingatkanku jika aku terlupa
Bahawa aku tidak perlu menjadi sebahagian mereka.

Dalam surat berikutnya aku bertanya,
Mengapa aku tidak boleh menjadi sebahagian mereka
Gembira menjawab, mereka telah mendapat semua,
Mereka sedang bergembira dengan cara mereka.

Aku tidak lagi menulis dan membalas surat kepada gembira.

(SANGDEWI. 14 Mac 2005. )