~Jalan Kenangan~ Sangdewi~

Sepanjang jalan kenangan, banyak kisah yang datang dan ditinggalkan, banyak cerita yang dijadikan teladan dan sempadan.Sepanjang jalan kenangan semalam yang tidak pernah padam, kenangan hari ini yang terus bersemi, kenangan akan datang yang akan menjelang.Sepanjang jalan kenangan ini, di sini aku berdiri atas nama insani.

Wednesday, May 11, 2005

11 MEI

Atas nafas dan nyawa ini....
(Sempena ulangtahunku yang ke 31)

Atas nafas dan nyawa ini
Aku masih di sini
Khilaf dan tak berisi
Kosong dan tak bererti

Atas nafas dan nyawa ini
Inilah masa yang diberi
Peluang yang diperolehi
Menilai diri sendiri

Atas nyawa dan nafas ini
Aku menghirup nikmat hakiki
Tak tergambar suara hati
Memanggilmu saban hari

Kehidupan yang aku lalui
Memerah beban ditanggungi
Aku tidak pernah sendiri
Kerna ada Kau di sisi

Perjalanan hariku berwarna merah jambu. Indahnya Tuhan menghimpun kita dalam corak warna yang sama dan hati kita menjadi satu.Bukan pemberian yang membuatku terharu tetapi kesungguhan kalian yang menyentuh hatiku.

Hari jadiku dihadiahkan sepatu, buatan sendiri teman-temanku. Sambutan meriah tema merah jambu di tepi tasik yang sungguh syahdu. Satu hari lagi yang bermakna dalam sejarah hidupku.

Aku tidak mahu kehilangan sesuatu, mengira semua yang hadir bertalu, masih belum kurasa kurang dan masih seramai selalu. Yang pergi itu satu, tapi dalam ingatanku, selama mana kau menjauhkanku, sebanyak mana kau temui teman baru, seluas mana kegirangan yang telah kau lalu, satu ketika, dalam memori yang kian kelabu, aku pernah mengenal dirimu, cuma kau tidak pantas mengetahui gerak hatiku.