~Jalan Kenangan~ Sangdewi~

Sepanjang jalan kenangan, banyak kisah yang datang dan ditinggalkan, banyak cerita yang dijadikan teladan dan sempadan.Sepanjang jalan kenangan semalam yang tidak pernah padam, kenangan hari ini yang terus bersemi, kenangan akan datang yang akan menjelang.Sepanjang jalan kenangan ini, di sini aku berdiri atas nama insani.

Saturday, December 31, 2005

SEBELUM JANUARI 2006

Januari 2005-Musim indah yang punah. Setiap hari yang kugagah adalah badai yang kutongkah. Atas nama profesionalisme, aku tidak ke mana-mana. Siapa sudi dengar cerita?Kalaulah mulut ini bisa berbicara, aku boleh memberitahu seluruh dunia, bahawa apa punca, mengapa, kenapa dan bagaimana? Siapakah aku yang masih lagi membatu? Mungkin ini caraku, Tuhan itu Maha Tahu.

Membenarkan salahnya dari persepsi lingkunganku?Hal apa yang berlaku?Justeru aku yang harus menerima beban sedang selama ini adalah amanah, jagaanku, cara kita, budaya kita, atau lebih jelas undang2 kita. Tapi atas satu teguran itu, membawa ke pelbagai cerita sebu, belum termasuk cerita yang tak berlaku? Aku terheret ke banyak penjuru, menikamku satu-satu dan akhirnya setelah setahun berlalu, aku menyaksikan semua itu, bahawa benar, dahulu ketika bersamaku, bukan itu yang kau mahu. Berbahagialah wahai temanku.............

Ulangtahun `dia', nun jauh di negara orang.Maaf, sambutannya biasa-biasa moga bisa membuatmu girang dikelilingi orang-orang yang teguh menahan waktu susah dan senang. Mungkin selepas setahun ini, peristiwa ini tak dapat berulang kerana kita sudah di lain gelanggang.

Ya, ulangtahun teman itu juga. Pernah ada yang bercerita, sewaktu dia mengadakan Rumah Terbuka, aku tidak dapat hadir dan membuatkannya mengalirkan airmata. Cerita dulu tapi tarikh itu tetap di minda.

Program `dia' di A.Banyak lagu-lagu syahdu yang mungkin juga kerana aku terbawa-bawa rasa itu. Apa yang kulakarkan untuk acara `dia' banyak yang mengusik jiwa. Hey, itu mewakili hatiku sebenarnya!

Januari juga pemula untuk bekerja keras bagi satu agenda terbesar dalam sejarah hidup `dia' April nanti.

Februari 2005-Bangkok melambai. Apa yang lebih indah jika bukan kejayaan yang digapai. MTVAA kekal ditangannya, ramai terpesona dengan alunan Seindah Biasa. Suatu detik yang paling kusuka, bilamana nama-nama besar di pentas dunia, kagum dengan suaranya.
Ulangtahun Papa, `dia' meraikan. Mengajak teman-teman senegara untuk sama menjamu hidangan.

Ulangtahun dua teman di rai di rumah depan, potong kek berdua bersuap-suapan. Apa lagi yang indah jika bukan kita di sini berhimpun dan masih utuh atas nama kawan.

Ke negara seberang untuk APM. Gandingan 3 Diva yang menggegar. 2 anugerah diraih atas tiket popular. Usaha lagi untuk rebut yang terbaik!

Mac 2005-Waktu padat dan sendat. Harinya kian dekat dan merapat. Menemani `dia' menjalani latihan, seakan aku juga membuat persediaan. Memang tidak menang tangan tetapi inilah ujian untuk satu perjalanan. Aku tahu di sebalik kesungguhan ada juga perkara yang tidak menyenangkan. Bulan ini memang penuh dugaan. Berapa banyak titik airmata yang tak terkesan dan sebak hati yang terpaksa ditahan. Hendak berpaut di mana dahan, hendak mengadu di mana teman.Aku seakan dalam keseorangan.

Ke London seminggu lebih awal.Kota yang aku impikan, perjalanan jadi hebat bila dapat bersama teman.Mengelilingi kota dengan riang tawa dan sesat jalan. Lihat, semua sudah di depan mata, tinggal harinya sahaja untuk semua menjadi nyata. Ada yang tak sempat ke Greenwich, nanti datang lagi ye?

Terkilan, tidak dapat bergambar secara sempurna di depan RAH dan santai di Hyde Park.Kebetulan musim bunga, aduh sayangnya. Adakah lagi masa untuk ke sana?

April 2005-RAH menyambut kami. Pertama kali menjejakkan kaki.Berdiri di dalamnya hati jadi megah. Aku mengelilingi dewan itu, memang inilah namanya tersergam indah. Tak dapat ditafsir dengan kata-kata, dan di atas pentas itu, akan ada anak Melayu yang bakal berlagu. Tahniah!

Belakang pentas, aku yang sedikit gelabah sambil tenangkan agar aku lebih tabah. Aku mahu berdiri gagah, supaya dia ada tiang supaya tidakkan rebah. Sebelum melangkah, kami berdoa tangan menadah, berikan semangat jangankan patah. Dia di pentas itu, aku meminggir dengan memandangnya terharu. Inilah impianku yang satu, waktu kali pertama menatap Sudir di dada akhbar, aku mahu kejayaan itu berakar. Selepas 3 jam, aku terlalu ingin mengucapkan tahniah. Mungkin tak mahu mengganggunya yang masih lelah.

ABP-Mengulang kejayaan selepas 2 tahun ketinggalan. Unggul atas tiket undian peminat yang tak pernah jemu dan bosan. Perkhabaran diterima sewaktu di airport (London), beberapa jam sebelum boarding untuk pulang ke Malaysia yang sudah kurindukan. Terima kasih teman-teman, banyak sudah berkorban dan hari ini hasilnya adalah kejayaan.

Tiba di tanah air dari London, rumah depan jadi tempat himpunan. Malam seakan tak dihiraukan, keletihan dipinggirkan.Aku terlalu merindukan semua yang telah lama tak terlihat di pandangan.

Ulangtahun bapa mentua atau Abah, bingkisan kubingkaikan `Seorang Ayahanda' menjadi hadiah. Mungkin yang termurah tetapi itulah rasa yang kuluah.

AIM-Senyum lagi. Biar tidak banyak tetapi kekal dalam genggaman untuk keberapa kali.
Persembahan `dia' masih terkesan dengan semangat RAH yang segar sekali.

MEI 2005-Awal Mei tentu banyak pertanyaan dan cadangan dari teman-teman. Selebihnya banyak sungguh rahsia yang aku sendiri mungkin dapat ramalkan. Aku sebenarnya terlalu ingin tahu dan kemudian meneka-neka walaupun ada yang dah bosan dan berkata jangan. Ya, kita tunggu saja harinya.

Ulangtahunku. Apa yang paling kusuka adalah melihat kembali gambar-gambar sewaktu acara itu. Indah sungguh di ulangtahun ke 31. Mmmm....merah jambu pelengkap gayamu, semua setuju???

Borang bertaip cantik, slogan yang baik dan temanku D mendapat antara 5 yang terbaik. Tahniah! Kalung itu dileherku, pinjam untuk bergambar di petang yang syahdu.

Selamat datang ke negeriku, berkumpul di Kuantan untuk acara sukan. Bukan untuk kami, tapi untuk ahli sukan dan karyawan. Dia turut serta setelah lama meninggalkan. Pasukan sorak khas dari KL besar yang terdiri dari teman-teman. Seronok di tepi gelanggang membawa ke tepi pantai melayan perasaan. Berposing sakan dan dari pelbagai sudut yang sungguh mengasyikkan.

Alangkah indahnya jika ada percutian, Langkawi yang hanya tinggal kenangan, ada yang kata dirancang dari A belum kahwin, berkahwin dan beranak sudahnya masih belum dilaksanakan. Kita ubah lokasi ke seberang laut ya, beli kain untuk teman yang bakal bertunang seterusnya menamatkan zaman bujang.

JUN 2005-Azam tahun lepas berjaya dilaksana. RS sudah dirasmikan dengan jayanya. Majlis kecil-kecilan untuk doa selamat sebelum RS dibuka. Bermula rutin hidup baru. Bukan mudah melakukan seorang, ada teman dan keluarga membantu. Lapangkan rezekiku kerana ini juga rezeki keluarga dan anak-anakku. Puas!Menyapu, memasak, membersih, mengangkat pinggan, melayan, semua kulakukan. Walaupun masih baru, aku harap pada masa depan akan bertambah maju.

A jadi ibu, kehadiran bayi perempuan comel yang menyejuk kalbu. Apakah bakal jadi menantu, maklumlah bertentang pintu.

`Dia' dan mentor. Antara percaturan atau permainan atau ujian untuk seorang anak didik masa depan. F jadi pilihan berdasarkan pengalaman.Tuah itu bukan untuk semua orang. Jika ada rezeki F menang, jika kecundang itulah namanya berjuang.

JULAI 2005-Tergesa-gesa sebenarnya tetapi berjaya dilaksana. Terperanjat? Moga temanku akan lebih berbahagia sempena hari jadi. Selepas sebulan, RS adalah buah tangan.Bulan pertama perniagaan, untuk adik beradik RM kuhulurkan. Dapat juga meringankan beban. Puas bila dapat membantu, moga akan bertambah rezekiku.

Dalam kereta itu aku tahu bahawa ada sesuatu yang dia katakan tetapi ditujukan pada diriku.Memang hati sebak tetapi siapalah aku untuk menidak atau menolak. Aku tahu siapa aku tetapi aku juga tahu kerja aku.Jangan tuduh melulu kerana mungkin ada orang disekelilingku yang masih punya rasa hormat dengan diriku. Bukan mereka takut denganku atau segala macam mak datuk prasyarat dariku tetapi mereka cuma ada rasa hormat. Rasa itu bukan rasa dibuat-buat. Maaf, aku amat berkecil hati dan mungkin itulah yang pertama kali aku menangis di depan dia. Dan..mungkin hari ini baru dia tahu apa2 perkara yang telah kuberitahu padanya.......

Konsert RAH dibawa ke negara jiran,S. Lebih bersedia dan punya banyak masa. Bersahaja dan petah berkata-kata. Di London, bahasanya terlalu berjaga-jaga. Selepas konsert sempet bertemu teman, bercerita dan hampir mengalir airmata. Terima kasih kerana mengerti bahawa keadaan semakin berbeza.

OGOS 2005-Tentang RS, sudah ada peningkatan. Mula ramai pelanggan dan juga bertambah pendapatan. Perbelanjaan juga tidak boleh dielakkan. Adanya RS, aku memang banyak bertumpu di sini namun kerja-kerja `dia' juga aku ikuti. Mungkin waktu di pejabat semakin kurang, tetapi aku masih bekerja waktu malam menjelang. Di rumah, aku siapkan apa yang perlu dan sewaktu di RS, telefon menjadi pejabatku. Banyak yang kuusaha walaupun mungkin tak nampak di mata.

`Tentang Dia' membuat kita bertemu semula dan tarikhnya sama dengan hari lahir F yang hampir kita lupa. Lepas menonton menyambutnya dengan makan bersama-sama.

SEPTEMBER 2005-Rutin di RS membuatkanku hampir lelah.Semakin hari aku semakin tidak punya masa untuk berbuat apa-apa. Berbulan-bulan tidak dapat ke salon, atau ke spa untuk massage atau aromaterapi, lama tak shopping, jauh sekali berjalan-jalan makan angin kerana waktu yang ada tidak percuma. Plan bercuti sudah ke tepi, menonton wayang jauh sekali. Keluar minum malam adalah sesekali, itupun harus berjanji. Mujurlah teman-teman memahami.

P cuti pada hari lahirnya. Sudahnya selepas dua minggu baru tahu itupun secara tidak sengaja. Terima kasih atas kesudian membantu RS beberapa bulan pertama.

Aku sibuk untuk menerbitkan material di RAH. Sebenarnya banyak perkara berlaku tetapi semuanya adalah pengajaran, aku melakukannya semula, memperbetulkan kesilapan yang ditinggalkan. Apa yang penting ianya berjaya diterbitkan. Kala ini urusan RS banyak diketepi, aku berjaga ke dinihari menunggu sampai pagi. RAH bahan bersejarah, tidak boleh diambil mudah. Aku bergegas ke sana ke sini menyiapkannya, boleh dikatakan seorang diri.Puas bila berjaya dan pengalaman itu telah kumiliki.

Rakaman raya dari penerbitan syarikat, jauhnya tempat. Puisi dan lagu pilihan tepat. Latihan yang singkat namun atas kerjasama sepakat, semuanya menjadi cepat.....walaupun rakaman habis terlalu lewat.

OKTOBER 2005-Ramadhan. Bulan penuh keberkatan. RS hanya dibuka seawal jam 4.30pm hingga ke 9.30pm. Tempat duduk sentiasa penuh pada waktu berbuka.Menu dan juadah lebih istimewa dari biasa. Ada juga kuih muih dan bubur pelengkap selera.

Meraikan semua warga ke RAH dan melancarkan vcd RAH di PWTC.Satu majlis bermakna dan harapnya semua yang hadir juga merasakan perkara yang sama.

4 Oktober, ulangtahun puteraku, PSNN junior. Aku sengaja meraikannya dalam majlis istimewa kerana aku tidak punya waktu yang banyak dengannya. Sering ditinggalkan sedari kecil dan aku jarang sekali dapat memandikan, memakaikan pampers atau menyuapkan makanan. Jauh sekali membawanya berjalan-jalan. Meraikannya sehari lebih awal, RS juga ditutup awal, seluruh warga RS dan teman kubawa menaiki feri di Tasik Putraya dalam jamuan makan malam yang syahdu. Mengelilingi Putraya menaiki feri, waktu malam yang sungguh berseri.

Sungguh sedih, tak dapat berterawih. Ramadhan berlalu sedang aku sibuk bertalu. 2 hari sebelum lebaran, Masjid India jadi tumpuan. Keperluan terakhir dibeli tetapi tiada yang berkenan di hati. JJ tumpuan kedua, membeli apa yang tiada.

Berkumpul di Damansara, aktiviti lazim setiap bulan puasa. hari lahir D, dengan kek dan lilin menyala belum mampu membuatnya terjaga. Nyanyian `surprise' membuatkan mata lena terbuka.

A menyambut 2 hari sebelum D, hadiah diletak dipagar setelah panggilan telefon tidak didengar.

Pulang ke rumah keluargaku, sempat berbuka puasa. Esoknya berhari raya. Menjelang petang pulang ke KL Kecil. Sambutan hari raya yang sederhana tetapi lengkap semua. Aku di rumah keluargaku, keluarga mentua dan berkumpul di rumah Wan. Kembali ke KL besar untuk berehat sebelum RS dibuka 2 hari kemudian.

NOVEMBER 2005-Ulangtahun perkahwinanku dengan Papa. Berada di Kuching Sarawak untuk urusan `dia'. Doaku masih doa yang serupa.

DISEMBER 2005-RS sudah enam bulan. Aku merancang macam-macam untuk tahun hadapan. Alhamdulillah, di sini aku menjadi diriku yang sebenar. Sebelum ini macam-macam yang kudengar, tetapi inilah harga yang harus dibayar. Pekerjaanku tidak sukar tetapi banyak yang mencabar. Di RS, aku menemui ramai orang, yang selama ini memandangku dari jauh, yang selama ini berpandangan yang aku angkuh, yang selama ini macam2 ku dituduh dan hari semuanya berubah. Aku bersyukur kerana inilah diriku, aku manusia biasa sahaja.
Sekurang-kurangnya hari ini RS menemukan kembali diriku. Aku telah lama hilang diriku. RS adalah cerminanku.

Ulangtahun PSNN, hasrat mengadakannya di MKL tapi berubah tempat ke POGH atas pilihan yang kubuat. Kehadiran lebih ramai dari kaum keluarga, pekerja dan sahabat. PSNN memohon hajat, atas perkataan yang kupaksa diingat. Terima kasih atas kehadiran semua dan kemurahan hati dia walaupun berat hati menerima. Bila besar jadi anak berjasa, belajar banyak bahasa, boleh jadi pengacara kerana Mahadzir Lokman pasti ada gantinya.

Selang sehari, ulangtahun B pula. Tetap kecil, comel dan memandu Kancil.

3 hari sebelum ke tempat itu, dia menyuruhku menangguhkannya. Sudah berbuat sebaiknya, tinggal datang dan berhibur sahaja. Semuanya sudah direncana dan dilaksana. Hanya 1 hari dari 365 atau dua tahun kewujudannya.1 hari saja.......................

Kejutan SZ di RS.Ada yang sudi menyapa, bersalaman dan mengucapkan terima kasih. Ada juga yang menyisih. Ada yang sengaja terlepas pandang denganku, ada yang seakan langsung tidak mahu memandang diriku. Tidak cukupkah dengan ungkapan maaf beberapa bulan lalu? Aku merendahkan diriku untuk memohon maaf, sedang aku tahu keadaannya tidak begitu, jauh sekali begitu maksudku.

Ulangtahun ibu mentua, `Seorang Bonda' tanda cenderamata. Luahan rasa serupa `Seorang Ayahanda' cuma berlainan kata.

Mengetahui sesuatu dan aku tertanya. Mengapa? Hati rasa hiba dan aku masih lagi bertanya, kenapa.Tetapi bukan dengan sesiapa.

Malam pengakhir 2005, aku mohon malam terus panjang.Aku bimbang bila siang menjemput datang. Dan esok adalah harinya, tetap bertandang.

Pengakhir tahun ini, aku masih lagi jadi pengemis, pada hari-hari manis. Bila hati menjadi nipis, rasa akan cepat terguris dan terhiris, aku tidak bisa menepis, aku tidak mampu menangkis kerana kegembiraan kian terhakis.

Wednesday, December 28, 2005

28 Disember 2005

Lama. Aku tidak punya masa. Sejak ada perkara yang kuusaha,waktu luangku hanya waktu semua orang lena. Sedangkan waktu itu juga aku tidak boleh lagi terus berjaga, kerna esok waktu ayam mula berkokok, aku sudah bergegas keluar bekerja. Seingat aku, dalam hidup aku selepas tamat alam pembelajaran, tidak pernah ada dalam kamus diri makna bercuti, jauh sekali untuk bersenang hati ke sana ke mari.

Aku sendiri tidak tahu, atas teruja apa aku masih terus-terusan memburu waktu hanya untuk tujuan agar dapat menyenangkan keluargaku, memberi apa yang mampu kerana aku tahu, tiap keringatku adalah perkongsian beban dengan orang di sekelilingku.

Perhambaanku mungkin belum cukup untuk aku menjadi orang baik dan berbudi kepada arwah ayahku, ibu yang lumpuh, abang dan kakak serta iparku. Sekelumit sahaja mungkin yang pernah tercurah, selebihnya aku masih belum mampu mengisi ruang kosong yang masih lohong dan berkawah.

Aku menulis waktu tahun sudah mahu menjemput tahun baru. Seingat aku, Mac adalah yang terakhir, dan selepas itu aku bagai menutup buku. Mahu sahaja aku menulis hari-hari menangis. Ingin sahaja aku mencatat rasa hatiku yang disiat-siat. Aku ingat. Semuanya sudah ku pahat.

Kisah aku di London tak sempat hendak dihabiskan. Aku pulang dengan kebanggaan. Aku pulang dengan kebanggaan.Aku pulang dengan kebanggaan. (Bangga bila pada satu masa, dalam dia sedar atau tidak, aku tidak leka mengerjakan apa yang ingin dia cipta. Bangga bila pada satu saat, ada ruang untuk dia ingat, bahawa aku yang jahat dan khianat adalah hamba Tuhan yang bekerja tanpa berkata penat.) Selebihnya kita saling tahu, dalam amarahku dan amarahmu, kita masih boleh bersatu atau tidak, kerna dirimu yang berkuasa mutlak.