~Jalan Kenangan~ Sangdewi~

Sepanjang jalan kenangan, banyak kisah yang datang dan ditinggalkan, banyak cerita yang dijadikan teladan dan sempadan.Sepanjang jalan kenangan semalam yang tidak pernah padam, kenangan hari ini yang terus bersemi, kenangan akan datang yang akan menjelang.Sepanjang jalan kenangan ini, di sini aku berdiri atas nama insani.

Thursday, January 12, 2006

6 JANUARI-Sebelum membuat keputusan menjayakan sesuatu, sekarang ini harus diberitahu dan minta dipersetuju. Katanya, ok, dan aku akan bertemu pihak HI petang ini untuk berbincang. Jika masa mencukupi tidak ada aral melintang, semuanya akan jadi. Isnin nanti, HI akan memberitahu keputusan pasti. Aku tahu masa tidak mencukupi tetapi jika ianya menjadi, itu sudah cukup membuatkan ramai orang bergembira nanti. Bukan senang mahu berjumpa, saat yang ada akan jadi satu majlis bermakna untuk semua penggemarnya.

Lewat petang baru habis meeting di HI, jalan jem sangat-sangat, dan aku menumpang A sewaktu berangkat. Walaupun untuk mohon dihantar pulang agak berat tapi aku tahu, dalam keadaan petang di KL, aku tidak punya pilihan lain yang tepat. Tersalah jalan, pusing semula dan mengambil masa dari senja ke malam yang semakin gelita.

Ke RS minta dihantar, ada 2 teman menunggu, berbual-bual seperti selalu. Bercerita tentang cerita seribu liku.Sesekali terselit ketawa yang lama membeku.

7 JANUARI-Hujung minggu yang sibuk, RS makin ramai yang keluar masuk. Rezeki Tuhan, aku memikul amanah dan menjalankan kewajipan.Kerja kerana minat, jarang berasa penat.

8 JANUARI-Risau tentang kedatangan AidilAdha. Seperti tidak bersedia. Hari ini kerja agak memburu kerana kakak dan anak saudara pulang ke kampungku. Hari ini juga diperkenalkan seorang pembantu baru, dari Indramayu. Nama Linda, payah nak bersuara. Aku disuruh melatih Linda terlebih dahulu, jika ia boleh membantu di RS, tidak ada pilihan lain lagi bagiku. Mengajar Linda adalah amanahku tetapi dia juga harus tahu dan cekap membantu.

Thursday, January 05, 2006

1 JAN-Awal ku terjaga, bergegas hanya membasuh muka ke kedai yang berdekatan dengan anak saudara. Aku membeli makanan yang boleh dibekalkan kepada Papa. Pagi itu senyap.Diruang mataku ada airmata yang cepat-cepat ku lap. Mengemas apa-apa yang sedia ada, untuk membeli yang baru, waktu tak membantu. mana mungkin, semuanya hanya semalam baru ku tahu.

Aku mengira detik demi detik, hati terus terluka dengan masa. makanan yang terhidang, bersisa. Tak terjamah pun oleh semua. Aku cuba untuk melindung rasa duka, naik ke bilik dan duduk seorang, akhbar hanya kubawa sebagai alasan untuk membaca.

Papa yang datang menemui juga mahu mengetahui isi hati sehingga apa yang membawaku menangisi. Mungkin pada Papa sudah ada jawapan yang kuberi, tetapi itu rahsia hati, bukan untuk dikongsi-kongsi.Kataku, jangan beritahu. Biar aku dan Papa saja yang tahu.

Selamat jalan, tak sempat melambai tangan, aku masih di bilik, keseorangan.

Bila hati kosong, aku mahu teman-teman. Bersama mereka, kakak, anak saudara dan PSNN, PSNN Junior, kami ke KLCC, entah apa tujuan. Jalan-jalan, makan-makan. Hujan. Tersadai di rumahku selepas itu. Kita bersama membelah waktu, hingga hampir jam 1 pagi itu. RS cuti hari ini, ruang untuk merehatkan diri.

2 JAN-Sesekali bersms dengan Papa, menelefon dan mendengar khabar. Seronok hendaknya. Pagi itu aku menghantar PSNN ke sekolah, kemudian ke RS, kemudian ke pejabat, kemudian ke RS, dan malam baru di rumah.

Aku membaca akhbar K, wawancara oleh wartawan N kepada aku dan dia. Waktu itu bulan puasa, aku yang sampai di tempat majlis berbuka bersama T Dr M dan isteri itu, bertukar baju kurung dan tidak menyangka, N akan mewawancara. Katanya kalau memberitahuku, tentu aku tidak mahu. Dia memaksaku bertalu.Aku kemudiannya angguk tanda setuju setelah N membawa recoder, jika tidak ada itu, aku tidak mahu. Aku suka diwawancara dan ditulis atas apa kataku yang benar, dan setelah lama, aku hairan mengapa wawancara kali ini, aku menjawab dengan sukar. Berhati-hati sekali dan tidak mahu tersasar.

Hari raya haji nanti aku mahu beraya di rumah sendiri. Bukan tak hendak balik kampung tetapi mood untuk berada di KL lebih melambung. RS nak cuti berapa hari? Tak boleh lama-lama, nanti rugi.

3 JAN-Hari ni tangan rasa sakit dan macam tak boleh nak angkat. Tak cukup rehat? Awal tahun kena kerja keras, lagipun berkejar macam2 tugas. Awal pagi menyiapkan sarapan pagi, memasak untuk makan tengahari, kemudian ke pejabat, dan petang ke RS, menghambat masa yang tak bisa menanti. Malam di kedai BS, habiskan masa berbual, dan akan ada permainan baru lepas ini, bertanya soal. PSNN yang takut tidur seorang asyik menelefon bertanya bila nak pulang.

4 JAN-Terlupa sungguh. Bila sampai di pejabat jam 2 petang, baru teringat PSNN masih belum diambil pulang. Gila, dari jam 11.15am PSNN menanti di sekolah, kesiannya aku rasa. Terus menelefon anak saudara supaya mengambil PSNN dan aku segera menelefon gurunya. Fuh!Biasa Papa yang mengambil, hari ini aku benar-benar terlupa. Tapi PSNN cool saja, siap boleh lena di sana. Malamnya, aku tanya, ok ke kena tunggu lama, dia kata tak mengapa. Best! Esok janganlah lupa.

5 JAN-Heheheheh...nasib baik teringkat lima minit sebelum waktu PSNN pulang dari sekolah. Kalau tak tentu hari ni PSNN pulang lambat lagi, teruklah aku kena marah.