~Jalan Kenangan~ Sangdewi~

Sepanjang jalan kenangan, banyak kisah yang datang dan ditinggalkan, banyak cerita yang dijadikan teladan dan sempadan.Sepanjang jalan kenangan semalam yang tidak pernah padam, kenangan hari ini yang terus bersemi, kenangan akan datang yang akan menjelang.Sepanjang jalan kenangan ini, di sini aku berdiri atas nama insani.

Tuesday, February 14, 2006

JANUARI...lagi.....

Selepas RS cuti 2 hari, aku meneruskan kerja seperti biasa. Sabar dengan segala karenah kerana bagi aku, dalam kehidupan dan pekerjaan, semua ini adalah laluan lumrah.

Banyak sebenarnya yang berlaku dalam Januari ini, sukar mengingati tarikhnya tapi peristiwanya masih segar satu persatu.

Agak berwarna kehidupanku pada Januari ini. Pembantu rumahku R, yang pernah aku tulis tentang tarikh kedatangannya ke rumahku dalam blog lama, telah menamatkan khidmatnya. Bukan aku tidak mahu memanjangkan permitnya tetapi dia sendiri yang minta pulang kerana mahu kembali kepada keluarga dan anaknya. Sebulan lalu, R seperti tidak mahu pulang, malah mahu membantuku di RS katanya. Namun keputusan itu berubah, dan tekad mahu pulang nun jauh di Lombok, pesawat menjangkau Bali dan kemudian ke Mataram, dua jam lagi dalam mobil baru sampai ke rumahnya.

15 Januari-Ini tarikh yang paling kuingati, kali pertama berbicara dalam telefon dengan Papa.Itu kisah zaman remaja, aku masih dalam uniform sekolah, menggunakan telefon awam, menghubungi rumah di berek polis KL kecil, di sana kediaman Papa. 2 jam itu dikira lama, tapi waktu menghambat rasanya. Syiling saja yang meronta-ronta, tiap detik harus diisi semula.

Pagi itu badanku rasa semacam, seram sejuk dan aku asyik berpeluk tubuh. Badan adakala panas dan adakala berpeluh. Di katil itu sejak pagi aku berlabuh.

Mungkin demam, bisikku. Namun aku harus ke RS juga kerana pembantu baru dari Indramayu, E, akan bertamu. Hari ini adalah hari pertama dia akan menjadi pembantuku. Menunggu Eni di RS, aku sudah tidak mampu. Seluruh badanku sejuk, bagai membeku.

Ubat sudah kumakan dan hendak berdiri lamapun aku tidak tahan. Dibilik kecil yang kujadikan surau di RS, aku baring kedinginan. Sehingga E sampai, baru aku menemuinya, orangnya pendiam, sewaktu berpisah dengan agen, dia menangis keseorangan. Aku biarkan. Memang selalunya begitu, kerana E masih belum mengenaliku dan tentu dia seperti ketakutan. Entah siapalah majikan!

Sampai di rumah, aku serahkan E pada R, minta R mengajar E apa-apa yang perlu. Bagi aku, R harus membantu, supaya E akan tahu apa kerja yang harus dilakukan di rumahku.

Aku tidak berdaya, kembali ke kamar, baring, mahu tidur tidak mampu. Keadaanku sebetulnya begitu sukar untuk diberitahu. Badanku sakit, kepala pening, muntah dan sakitnya Tuhan saja yang tahu. Berlarutan hingga seminggu.

Ke hospital, masuk air, cucuk sana sini, sakitnya. Masih tidak berubah, cuma panas badan agak reda. Papa dua kali ke luar negara, aku hanya dibantu teman dan keluarga.

18 JANUARI-Papa berangkat ke Jakarta. Hari ini juga R akan pulang ke negaranya. Semalam aku tidak larat untuk melihat barang-barang yang dikemas R kerana aku pening kepala. Pagi ini juga begitu, masih tak berdaya tapi aku tetap mahu ke KLIA menghantarnya. Oleh kerana pesawat R tengah hari, aku ke KLIA bersama, E, anak-anak dan dihantar teman yang murah hatinya.

Lambai tangan tanda R sudah berangkat. 3 tahun lama, aku tahu banyak yang sudah R lalui sama ada ringan atau berat. Aku telah berusaha menjadi majikan terbaik untuk R, walau entah R suka atau tidak. Tudung kepala hingga ke cadarnya, dengan kepunyaanku adalah sama.Aku tidak kisah, kerana yang penting R harus gembira.

Perjalanan hari terus biasa. E masih baru dan terpinga-pinga. Linda juga masih belum pantas bekerja. Aku menasihati Linda kerana tidak mahu memulangkannya kepada agen tapi dia harus kuat berusaha. E memang tidak begitu cekap tetapi yang penting dia meringankan sedikit beban yang ada.

Kerana satu perkara yang tak terduga, aku memulangkan juga Linda. E masih bersama, dengan syarat dia harus setia.

3 kerja di luar KL, aku tidak serta. Papa yang mencadangkannya kerana meninggalkan anak-anak dengan E yang masih baru, Papa tidak percaya.

Banyak kontroversi dan aku dicari. Aku harus menangkis, menjawab dan sebolehnya mempertahankan dia yang aku kira tidak perlukan semua publisiti begini. Pesanku, semuanya harus `no komen' untuk tidak lagi diasak, dan yang penting kita ada pendirian, dan ini akan membuatkan kita disegani.

27 JANUARI-Bersama dia ke dinner AJL di sebuah hotel terkemuka. Habis acara, dia tumpuan utama, `no komen' yang berjaya. Kataku, benarkan, katakan saja itu, dan semuanya akan berlalu seperti biasa.

Januari juga memulakan hasil terbitannya. Sudah merakamkan beberapa hasil yang ada dan aku begitu teruja untuk terus membantunya.

RS cuti 2 hari, waktu untuk bersama teman-teman, filem BB yang jadi pilihan. Mmmmmm, menonton promonya lebih teruja daripada menonton penuh filemnya. Pada tahap yang baik, filem sequel kedua biasanya akan menjadi mangsa. Kekurangan idea. PHSM2 juga sama.

FEBRUARI

3 Feb-Sibuk sungguh hari ini. Keputusan yang dibuat pagi tadi, membuatkan aku tak menang tangan dan kaki. Esok Papa menyambut hari jadi. Aku mahu berbuat sesuatu setelah tahun lepas tidak jadi.

Aku bercadang mengadakannya untuk 3 orang, Papa, dia dan seorang anak saudara. A, anak saudara sepupu yang sama hari lahir dengan Papa. Ibunya sudah setuju, dia sahaja yang tak kuberitahu, cuma menghantar undangan sahaja.

4 Feb-RS sibuk dan membuatkan persediaan untuk malam ini menjadi lewat juga. Papa ke KL kecil menjemput mentua. Dengan segala kesukaran dan kudrat yang ada, kami di RS melakukannya juga.

Dihadapan rumah, sudah ada khemah. Semalam kutempah. E kuharapkan untuk membersihkan rumah.

Malam-Keluarga, saudara dan kenalan berhimpun bersama. 3 kek yang kutempah khas sudah berhias di meja. Makanan juga terhidang di luar sana. Acara berlangsung sederhana, hampir sempurna. Bacaan doa, memotong kek, makan malam, bersembang, bergurau senda, semuanya terjadi belaka. Aku puas sebenarnya. Dia, maaf agak lewat menyambutnya, tetapi aku harap kek itu membuktikan semua. Aku masih mengkagumi semua kesederhanaan yang pernah kau miliki, dan kek comel itu tetap menarik untuk memberi sempurna kepada seorang diva seumpama.

Papa, moga berpuas hati dan aku fikir memang Papa takkan menyangka. Fikirnya mungkin tidak seperti yang berlaku di depan mata.

5 FEB-Dia jadi juri di AJL20. Tugas berbeza dengan apa yang pernah ditempuh. Lakukan sebaiknya kerana kau memang layak di sana.

Untuk pertama kali dalam sejarah aku bersamanya, inilah pertama kali aku duduk di tempat penonton sewaktu acara. Malam bermakna.Seronok juga.

7 FEB-Membawa media ke studio untuk hasil ciptaan Y. Komen yang baik untuk hasil Y.
Bagi aku lagu Y tidak mungkin jadi lagu semusim, aku sentiasa menggemari ciptaannya. Tak perlu hebat tetapi hasil yang sentiasa diingat.

9 FEB-Sempat makan malam bersama AS yang menang di AJL20 sebelum meneruskan kerja di studio dan ada juga media bersama. Hasil ciptaan dia.

Monday, February 13, 2006

9 JANUARI

Hari sibuk bila kakakku sudah pulang ke kampung. Aku hanya dibantu teman dan Linda di RS, sedangkan ramai pelanggan berkunjung. Sejak dari pagi sudah mula memasak, Linda tak boleh diharapkan dan aku hanya menahan amarah yang kian melambung.

Linda aku harap dapat meringankan kerjaku, tetapi satu kerja pun dia tak tahu. Mengapa dan apa tujuan datang ke M'sia, aku tidak tahu? Setiap kerja pinta dibantu, jika tidak dia akan bertongkat dagu.

Fikirku baru sehari memang begitu......seterusnya sehingga habis aku menulis blog ini, dia memang tidak tahu, sudah diajar masih membatu.

Sewaktu Papa pulang, aku tidak berada di rumah. Keluar mencari keperluan Aidiladha dan barang juadah.

Harap sangat Papa tak bercerita, mendengarnya aku tidak kuasa. Jika gembira, pendam saja, jika tidak biarkan juga.

10 JANUARI

Bangun pagi, menyiapkan juadah AidilAdha. Kuah kacang dan ketupat segera. Nasi minyak, rendang dan ayam masak merah pembuka selera. Kuih-kuih juga memenuhi meja. Puas kurasa.

Semalam sudah ku sms kepada kenalan dan saudara bahawa aku ada di rumah jika mahu datang beraya. Cuma hari raya pertama dan kedua sahaja.

Sudah lama kurindukan suasana ini. Dapat berehat di rumah sendiri seperti bercuti. Di dapur itu ku memasak kembali. Duduk santai dan menonton tv. Bermain dengan PSNN dan PSNN Junior dari pagi ke malam hari.

Ada kenalan dan teman yang bertandang. Makanan yang ada kuhidang. Bersambung dengan melepak dan bersembang.

11 JANUARI

Menyediakan juadah istimewa, kue teow/mee gulung istimewa. Belajar dari mak saudara, aku kira menu ini mengamit selera. Walaupun banyak bahan dan membuatnya agak leceh tetapi inilah cabaran yang aku suka.

Beberapa kenalan datang, guru PSNN juga bertandang. Menu istimewa itu kuhidang. Nampaknya ramai yang memuji, dan tentunya aku yang gembira bukan kepalang.

Menanti teman yang sepakat datang 2 jam sebelum tengah malam menjelang. Menu yang sama kusediakan. Banyak disoal dan aku memberi jawapan. Makan sajalah, jika bila-bila teringin, aku boleh siapkan.

Ada yang mencadangkan agar menu itu dibuat di RS untuk tambahan menu yang ada. Kufikir betul juga. Kini sudah ada, bila-bila masa, order sahaja.

Sedang leka di dapur, dia tiba. Dari kampung agaknya. Guru-guru PSNN yang sedang menjamu selera, jadi teruja. Mungkin tak disangka.

Sebenarnya hari ini hari jadi dia. Pagi tadi aku sudah menghantar sms, ringkas saja. Siapa yang tidak mahu melihat dia bahagia seumur hidupnya? Jika semua doa warga Malaysia dihimpun, aku fikir selamanya dia akan mengecap sejahtera. Apatah lagi pada hari lahirnya.

Aku tahu, sejak sebulan, seminggu, sehari dan hari ini, dia menerima ucapan dan hadiah bertalu. Di celah mana aku mahu lalu, untuk mengekspresikan ucap dan jikapun ada hadiah, yang boleh akses terus kepadamu?

Nampak memang mudah, tapi tak semudah itu sebenarnya. Dan hari ini aku masih tidak membeli hadiah buatnya. Masih tidak mengucapkan `selamat hari jadi' di hadapannya. Hanya sekali, pagi tadi, sms ringkas tanda doa.

Buat dia, selamat ulangtahun kedua puluh tujuh, perjalanan hidup yang kian jauh, masih banyak yang harus ditempuh, moga hati tak pernah rapuh.