~Jalan Kenangan~ Sangdewi~

Sepanjang jalan kenangan, banyak kisah yang datang dan ditinggalkan, banyak cerita yang dijadikan teladan dan sempadan.Sepanjang jalan kenangan semalam yang tidak pernah padam, kenangan hari ini yang terus bersemi, kenangan akan datang yang akan menjelang.Sepanjang jalan kenangan ini, di sini aku berdiri atas nama insani.

Friday, March 10, 2006

9 MAC

Bangun awal dari biasa kerana harus ke RS menyediakan tempahan sarapan pagi untuk kerja dia di WS, tak jauh dari sini. Dua kali berulang alik dari WS ke RS untuk menyiapkan sarapan dan makan tengahari, dan seterusnya aku berada di WS hingga malam hari. Rancangan asal hanya tumpukan satu kerja di Ws, tapi kerana habis awal kami menyiapkan satu lagi kerja yang tak dirancang. Aku bergegas balik ke rumah dia mengambil keperluan dan barang-barang. Menjelang petang, selesai dan aku masih belum pulang. Kubiarkan dia pulang dahulu kerana ada sedikit lagi urusanku yang perlu dibincang.

Sejak pagi sms dan deringan telefon tak berhenti. Papa dari seberang juga begitu dan menasihatkanku supaya berdiam diri. Di depan dia aku tenang menghadapi. Ada cara tersendiri. Perkara yang sudah jadi sepatutnya tidak terjadi begini. Kan sudah kata, berdiam diri. Jika terus-terusan begini akan memakan diri.

Memang tidak kusangka, usaha satu pihak ini bukan sahaja menghubungiku tetapi yang lain juga. Telefon beberapa orang di WS juga meminta perkara yang sama. Aku tidak pasti untuk apa, tidak bolehkah ditutupkan saja berita?

Nah, lagi tidak disangka, pihak itu datang ke WS juga. Aku harus berkata apa? Sebolehnya melayan mereka sebagai rakan, cuba bercakap sebaik mungkin walaupun aku tidak mahu campur akhirnya.

Apa yang akan berlaku esok, lusa dan hari-hari seterusnya..........., tidak bolehkah takdir berubah untuk aku mendapatkan `diri'nya semula.

Selsema dan ulser membuatkan aku tidak senang. Tekanan mula datang.

10 MAC

Gejala selsema dan ulser menghadkan aku bercakap, ketawa atau ceria seperti selalu. Di RS, aku sekadar bekerja dan membatu, tidak mahu bercakap kerana kesakitan ini mengganggu. Untuk melupakan hal-hal kerja di RS, aku segera ke pejabat, mencari pelarian sendiri, menjengah apa yang diperkatakan tentang dia dan bersikap siap sedia.

Telefon kala menulis ini terus berdering, aku mahu sahaja menutupnya. Maaf kepada semua yang menelefon, tiada kerjasama waktu ini, dan selebihnya biarlah `mereka' yang menjawabnya.

Wednesday, March 08, 2006

SIAPA R.......

Entry kali ini mahu bercerita tentang R, dia agak kecewa kerana kurang namanya dalam tulisanku. Malah bagai tidak ada langsung kewujudannya, itu katanya padaku. Ya, beberapa minggu lalu itulah yang disampaikan R, kerana ruang lingkup hidupku selain keluarga, dialah yang banyak membantuku.

Kataku, memang aku berhenti bercerita tentang R, apa yang aku dan R lakukan hari-hari dan apa yang kami lalui. Sejak ada RS, aku bertemu R boleh dikatakan saban hari. Dialah saudara dan pernah berkata mahu bertukar nyawa jika sesuatu berlaku ke atas diriku, itulah pengorbanannya.

R, aku sebenarnya berhenti menulis tentang cerita-cerita kita kerana di luar sana ada yang berburuk sangka. Apa yang diperkata begitu menyakitkan telinga. Di pandangan mata mereka, tidak sanggup untuk aku ucapkan nista.

Sejauh itu pemikiran mereka, malah kita dikata-kata dan aku tahu angkara mulut siapa, siapa yang bercerita, menyebarkan cerita dan membuat spekulasi sesuka mereka.

Aku jadi tidak senang apabila semua ini dilemparkan pada kita. Aku berasa sungguh terhina.

Aku tahu, hari-hari aku lalui bersama R, sudah seperti saudara. Katakan dalam keadaan apa saja, dialah pendengar setia. Membantu sedayanya, menjadi pelindung waktu aku rasa tidak terbela. Menjadikan aku lapang dada sewaktu keadaan menyesak rasa. Membuatkan aku terfikir siapakah dia yang sanggup bersama-sama?

Aku terlalu banyak menerima budinya, atas sikap baik hati dan tidak mementingkan diri. Aku juga banyak berdosa padanya, sewaktu amarahku kepadanya kuhala, dan sewaktu emosi menjadi penguasa.

Aku terlalu banyak berhutang atas kehidupannya, meninggalkan kerjanya kerana mahu di RS membantu bersama-sama, meninggalkan zaman sosial hanya kerana jadual harianku yang memaksanya dia menghantarku ke mana-mana.

Itu belum termasuk dalam segala sikap positif dan negatifku yang dia terima seadanya tanpa berasa terbeban, tanpa banyak persoalan dan dengan senang hati menerima kelebihan dan kelemahan.

Adakala aku mencarinya terlebih dahulu sebelum sesiapa, adakala aku meminggirkannya kerana tidak mahu dia turut merasa apa yang aku rasa, adakala aku terlalu baik sehingga mendahulukannya dalam sesetengah keadaan dan adakala aku rasa bersalah bila membiarkan dia kebosanan.

R akan mencari aku bila dia memerlukan orang untuk berbicara dan aku juga begitu kerana saban hari kami tidak pernah buntu bila harus bersuara, apatah lagi bercerita. Aku suka mendengar R bertanya, soalannya begitu membuatkan kemahuanku untuk menjawab di tahap maksima.

Dan aku tahu, tidak mungkin hari-hariku tanpa R kerana setiap gerak dan langkahku, R mengiringi dalam perlahan dan laju.

Waktu aku kecewa mendengar salah tanggapan orang kepada aku dan R, dengannya aku tidak bercerita. Aku tidak mahu R berasa tidak selesa.

Bagi aku R mempunyai segala-galanya. Aku begitu mengenalinya. Otaknya geliga, ideanya begitu membuatkanku bangga, kerjanya terlihat sempurna, dia berfikiran terbuka dan berpengetahuan agama (aku terlalu menyanjungnya dalam soal ini).

Di RTM, R mula ku sapa, ingatkan orang dari Benta, membaca tulisan R di GB begitu aku suka dan aku mula mengenal siapa penulisnya, dari gaya bahasanya aku sudah boleh meneka bagaimana orangnya.

R salah seorang yang menjadi teman di GB, di situ kami semua mula mengenali. Sehingga sering bertemu dan bertamu juga beramai-ramai di rumah R membuatkan kami semua lebih mendekati.

Aku dan R juga semakin rapat, bertahun-tahun menjadi semakin erat. Membantuku tiap waktu, menjaga waktu tenatku, keretanya adalah tumpanganku, masanya adalah waktuku, banyak hal yang berlaku, tapi R masih menjadi sahabat dan temanku.

Waktu aku berdepan dengan satu masalah yang menguji dimana kawan dan lawan, R berdiri di depanku bermati-matian. Membuatkan aku masih punya pertimbangan.

Bagi aku sokongan R bukanlah sokongan yang salah dan akhirnya membawa rebah. Sokongannya adalah kerana dia tidak mahu aku lemah dan mengalah, dia tidak mahu aku terperosok di dalam tempurung dan membiarkan harga diriku dikurung, dia tidak mahu aku menangis atas kesilapan orang lain dan kemudiannya aku juga yang harus menangkis.

RS juga terbina atas bantuan R, dia melihat sendiri bagaimana susahnya aku, bagaimana aku memilih berdikari sebagai jalan hidupku, bagaimana dia melihat aku menghambat waktu dalam lapang dan sibukku.

Kepada R, usah lagi berkecil hati, tulisan ini mungkin begitu kecil untuk membesarkan pengorbananmu. Aku mahu berada bersama waktu kau penuhi cita-citamu dan aku mahu membantu.

InsyaAllah, rumah idaman, pekerjaan impian, kesenangan berpanjangan akan dapat dipenuhkan. Aku dan teman-teman akan doakan.
5 MAC

Susah sungguh hendak ke RS pagi ini, junior asyik menangis mahu mengikut Eni. Hendak dibiarkan kasihan tetapi takkan nak bawa ke RS, J pula memujuk walaupun junior menangis tanpa henti. Aku meninggalkan rumah sewaktu junior masih belum berhenti dari esakan, uh, tak sedapnya hati.

Kerana hari ini hari pertama aku meninggalkan junior dengan J sahaja, aku sering menelefon ke rumah untuk bertanyakan keadaan. Nampaknya junior sudah boleh menyesuaikan diri walaupun aku tahu, dia masih kehairanan. Sehari ini, J sudah boleh melakukan kerjanya. PSNN dan junior juga sudah boleh mesra dengannya.

Malam, aku bertolak ke RC untuk check in di sana. Pagi esok ada acara AA dan aku menemani dia. Selsema hendak bermula, penyakit yang paling aku tidak suka. Hidung akan jadi merah dan aku tidak selesa.

6 MAC

Sejarah, N yang akan menyolekkan dia mengetuk pintu bilik jam 530am sewaktu aku masih lena. Selepas pintu dibuka, aku menyambung tidur semula. Kemudian bangun bersiap kerana sebelum jam 730am, dia perlu bersedia.

Sementara menunggu giliran untuk berjalan di karpet merah, sempat minum pagi di bahagian menunggu. Bila tiba gilirannya menaiki kereta khas, aku ke lif untuk menunggu dia di tempat yang dituju.

AA yang berlaku di LA ditonton kami semua di dalam dewan. Sesekali keluar untuk memenuhi wawancara dan permintaan. Aku tahu dia tidak selesa tetapi masih juga mengeluarkan kata. Pujukan demi pujukan mungkin menyebabkan dia harus berkata ya. Masih berahsia tetapi cukup membuatkan orang yang mewawancara berasa lega.

Aku? Dahulu bila dia diwawancara, aku mesti duduk mendengar di sebelah. Hari ini aku tidak mahu mengganggu dan membiarkan dia sahaja menjawab apa yang ditanya dan ditelah. Aku tahu, sesuatu akan berlaku esok, sudah membayangkan apa yang akan tersiar, dibesar-besarkan dan bertalu-talulah persoalan tanpa noktah.

Di majlis AA ini juga, dia terpilih sekali lagi untuk menerima pakaian terbaik. Hadiahnya juga menarik, masakan tidak, dengan siapa dia akan pergi ke AA tahun depan teruk diusik. Hal sebegini akan ada yang bersangka baik dan akan ada juga yang hatinya tercarik. Aku duduk di sini secara profesional, menjaga dan membantu, jika menjadi urusanku, aku bantu, jika dia senang sendiri, aku biarkan dia sendiri.

7 MAC

Benar telahanku semalam. Telefon, sms bertalu-talu, tak kunjung padam. Aku berdiam. Mahu ke mana arah badanku? Di belah dua atau biarkan sahaja terpatri pada satu? Tuhan, dalam apa jua keadaan, aku harap benar dia diberikan kebahagiaan. Takut? Ya, kerana soal berumahtangga bukanlah noktah untuk satu perjalanan, kerana ianya ibarat kapal, yang singgah di satu pelabuhan dan belayar lagi meneruskan haluan.

Menerima telefon dari J, junior benjol di kepala. Segera pulang ke rumah melihat keadaannya. Memang bengkak teruk, tapi junior masih lagi bertenaga. Berlari tanpa hentinya. Aku masih belum menceritakan tentang junior, anak kedua yang sungguh sukar untuk dijaga. Keras hatinya dan lasak serta setiap detik tidak pernah diam, bergerak ke sini ke sana. Cuma aku sentiasa mengalah dengan wajah comelnya, manjanya dan ciumannya sewaktu melihat aku mula marah dan junior cepat-cepat meleraikannya.

Selsema semakin menjadi-jadi. Cepatlah baik, nanti mengganggu emosi.

8 MAC

Papa ke negara jiran, ada urusan. Aku di RS sejak semalam, hari ini dan esok sibuk dengan tempahan makan. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya tempahan ini dapat menambahkan pendapatan.

Tuesday, March 07, 2006

FEBRUARI lagi.....

Beberapa lagu telah disiapkan, tak sabar untuk menanti ianya dipasarkan. Banyak perancangan dalam kepala tetapi harus diatur satu persatu agar semua yang diimpi akan terlaksana.

Ke GH untuk ABP. Aku datang sehari awal membawa anak-anak dan Eni bersama. Sempat jalan-jalan, melayan PSNN dan junior di tempat permainan. Waktu menghambat, sebelum jam 11 harus tiba di rumah dan tidak boleh lewat. Aku, Papa dan A jadi detektif, menunggu dalam kereta tidak jauh dari rumah. Memerhati jika terdapat sesuatu yang mencurigakan, walaupun kami cuba memburu namun ternyata salah.

Menunggu lagi, dan aku makin penat, malam pula kian pekat. Aku masuk ke rumah sebelah, mata mengantuk, namun masih bersembang. Apa yang dinanti tak kunjung datang. Aku mengambil keputusan balik ke rumah, tidur kerana pagi esok harus berada di PJ untuk satu perkara yang entah siapa yang salah dan berhelah.

Pagi sudah keluar rumah, menuju ke satu tempat di PJ yang aku sendiri tidak percaya akan datang bersinggah. Oppss..ini kali ke dua, yang pertama kali beberapa hari sudah.

Kerana sayang, aku tampil membantu walaupun aku tidak tahu haruskah aku berada di situ atau berlalu? Papa juga turut serta, dan aku tahu Papa juga kecewa. Bila menyentuh soal keluarga, kita akan cepat menitiskan airmata.

Bersemuka mungkin cara dan hari ini ianya jadi nyata. Maaf jika hari ini ada kata-kataku yang membuat sesiapa yang berada di sana terluka. Setahun yang dipendam walau tanpa dendam, tapi rasanya tak pernah padam. Hari ini aku semakin mengerti, dalam satu-satu keadaan, aku boleh jadi bahan keperluan. Itu cukup membahagiakan!!!!!!

Pertemuan ini juga membuatkan aku sedikit terkilan dan memandang rendah pada ........, namun aku tidak pula menidakkan budi yang ditabur selama ini. Sehingga semalam, aku masih bersms dengan ......., oppss, aku tidak membalas sms kerana bimbang pendirianku berbeza hari ini.

Pertemuan ini juga membolehkan aku berterus terang walaupun masih mengatur kata dengan sebaiknya. Aku mula sedar, ada pihak yang sentiasa memandang tinggi kepada orang yang berkelulusan tinggi dan aku tidak menafikan sesekali rasa berkecil hati.

Kerana pendidikan, adakala aku rasa seperti tidak dipeduli kerana yang harus terus menang adalah orang yang pernah menuntut di pengajian tinggi. Itulah yang harus dipercaya dan diikut kata, sejak dulu aku memerhati.

Tidakkah pengalaman dan keberkesanan diutamakan? Tidak terpandangkah atas kerja keras tanpa menuntut sebarang faedah yang dimahukan?

Mungkin emosi atau sedar diri atau tidak tahu menilai diri. Sekadar terfikir. Saat ini.

Berbalik kepada hal pertemuan tadi, ya, sedikit sebanyak rasa sanjung jadi longgar. Ternama atau cendikiawan, bekerja sebagai profesional atau glamour, aku sudah dapat merasakan, tanpa otak matang dan pengalaman, sebanyak mana ijazah pun akan dipinggirkan.

Habis pertemuan di PJ, aku terus ke GH kembali. Semalam aku meninggalkan anak2 di bawah jagaan teman2. Sejak awal pagi, mereka sudah berjalan-jalan. Aku sampai semula di GH sekitar jam tiga, bawa dia check in, dan aku keluar semula untuk membeli beberapa keperluan. Aku semakin suka berada di GH terutama di FW kerana semua barangan yang berada di sini adalah koleksi terbaru yang tak terdapat di KL. Mahu sering ke sini, berjalan dan membeli, bersukahati dan mencipta lagi memori.

Menanti malam, aku melaram. Walau tidak ikut tema, cukuplah gaya sederhana. ABP bermula,aku hanya memilih satu sudut untuk melihat perjalanan majlis dengan Papa. Dia ditemani E, duduk sebaris dengan rakan-rakan seperjuangan. Bagi aku, hari ini dia menawan, lengkap dan bersopan. Satu gaya yang sudah lama aku rindukan. Kembalilah begini kerana ianya akan lebih mendekati dan menyentuh hati.

Tidak salah, dia yang paling menyerlah. Walaupun untuk BPP dia kalah, aku kira sembilan tahun bertahan dengan satu anugerah adalah sesuatu yang tidak boleh dipandang rendah.
Lebih indah, dengan pakaian sebegitu sekali lagi dia diberikan anugerah, penampilan paling terserlah.Tahniah!

MAC

Termenterai perjanjian baru, dia bersama satu syarikat yang kebanyakan produknya adalah kegemaranku. Aku meninjau satu-satu jenama di situ, tersenyum sendiri, sebetulnya aku yang patut berada di tempat `dia', lawakku.

Sewaktu dia ke Penang, aku tidak ikut serta. Hari ini pembantu baru, J akan tiba. Juga berasal dari Indramayu tapi terlalu muda.

Malam, bersemuka dengan Eni, menerangkan kehadiran J, pembantu baru yang bakal menggantikannya untuk kerja-kerja di rumah dan menjaga PSNN dan junior. E nampaknya tidak begitu memberangsangkan sewaktu kerja di rumah. Orang sepertiku harus mempunyai pembantu yang boleh diharap dan berhemah.

E memahami kehendakku, dia sedia bertukar ke RS, dan itu sudah menggembirakanku. Hari ini aku punyai dua keluarga baru, E dan J, pembantuku dari Indramayu.

Hari pertama Eni ke RS, aku di rumah sehingga petang untuk mengajar J kerja-kerja di rumah dan bagaimana hendak melayan karenah kedua-dua anakku. Memang tidak mudah tetapi lama kelamaan aku pasti akan terbiasa dengan cara di rumahku.

Nampaknya Eni berjaya membiasakan diri di RS dan boleh diajar. Walaupun hari pertama adalah hari yang sukar, tapi aku tahu Eni boleh menerima dan mendengar.