~Jalan Kenangan~ Sangdewi~

Sepanjang jalan kenangan, banyak kisah yang datang dan ditinggalkan, banyak cerita yang dijadikan teladan dan sempadan.Sepanjang jalan kenangan semalam yang tidak pernah padam, kenangan hari ini yang terus bersemi, kenangan akan datang yang akan menjelang.Sepanjang jalan kenangan ini, di sini aku berdiri atas nama insani.

Wednesday, March 08, 2006

SIAPA R.......

Entry kali ini mahu bercerita tentang R, dia agak kecewa kerana kurang namanya dalam tulisanku. Malah bagai tidak ada langsung kewujudannya, itu katanya padaku. Ya, beberapa minggu lalu itulah yang disampaikan R, kerana ruang lingkup hidupku selain keluarga, dialah yang banyak membantuku.

Kataku, memang aku berhenti bercerita tentang R, apa yang aku dan R lakukan hari-hari dan apa yang kami lalui. Sejak ada RS, aku bertemu R boleh dikatakan saban hari. Dialah saudara dan pernah berkata mahu bertukar nyawa jika sesuatu berlaku ke atas diriku, itulah pengorbanannya.

R, aku sebenarnya berhenti menulis tentang cerita-cerita kita kerana di luar sana ada yang berburuk sangka. Apa yang diperkata begitu menyakitkan telinga. Di pandangan mata mereka, tidak sanggup untuk aku ucapkan nista.

Sejauh itu pemikiran mereka, malah kita dikata-kata dan aku tahu angkara mulut siapa, siapa yang bercerita, menyebarkan cerita dan membuat spekulasi sesuka mereka.

Aku jadi tidak senang apabila semua ini dilemparkan pada kita. Aku berasa sungguh terhina.

Aku tahu, hari-hari aku lalui bersama R, sudah seperti saudara. Katakan dalam keadaan apa saja, dialah pendengar setia. Membantu sedayanya, menjadi pelindung waktu aku rasa tidak terbela. Menjadikan aku lapang dada sewaktu keadaan menyesak rasa. Membuatkan aku terfikir siapakah dia yang sanggup bersama-sama?

Aku terlalu banyak menerima budinya, atas sikap baik hati dan tidak mementingkan diri. Aku juga banyak berdosa padanya, sewaktu amarahku kepadanya kuhala, dan sewaktu emosi menjadi penguasa.

Aku terlalu banyak berhutang atas kehidupannya, meninggalkan kerjanya kerana mahu di RS membantu bersama-sama, meninggalkan zaman sosial hanya kerana jadual harianku yang memaksanya dia menghantarku ke mana-mana.

Itu belum termasuk dalam segala sikap positif dan negatifku yang dia terima seadanya tanpa berasa terbeban, tanpa banyak persoalan dan dengan senang hati menerima kelebihan dan kelemahan.

Adakala aku mencarinya terlebih dahulu sebelum sesiapa, adakala aku meminggirkannya kerana tidak mahu dia turut merasa apa yang aku rasa, adakala aku terlalu baik sehingga mendahulukannya dalam sesetengah keadaan dan adakala aku rasa bersalah bila membiarkan dia kebosanan.

R akan mencari aku bila dia memerlukan orang untuk berbicara dan aku juga begitu kerana saban hari kami tidak pernah buntu bila harus bersuara, apatah lagi bercerita. Aku suka mendengar R bertanya, soalannya begitu membuatkan kemahuanku untuk menjawab di tahap maksima.

Dan aku tahu, tidak mungkin hari-hariku tanpa R kerana setiap gerak dan langkahku, R mengiringi dalam perlahan dan laju.

Waktu aku kecewa mendengar salah tanggapan orang kepada aku dan R, dengannya aku tidak bercerita. Aku tidak mahu R berasa tidak selesa.

Bagi aku R mempunyai segala-galanya. Aku begitu mengenalinya. Otaknya geliga, ideanya begitu membuatkanku bangga, kerjanya terlihat sempurna, dia berfikiran terbuka dan berpengetahuan agama (aku terlalu menyanjungnya dalam soal ini).

Di RTM, R mula ku sapa, ingatkan orang dari Benta, membaca tulisan R di GB begitu aku suka dan aku mula mengenal siapa penulisnya, dari gaya bahasanya aku sudah boleh meneka bagaimana orangnya.

R salah seorang yang menjadi teman di GB, di situ kami semua mula mengenali. Sehingga sering bertemu dan bertamu juga beramai-ramai di rumah R membuatkan kami semua lebih mendekati.

Aku dan R juga semakin rapat, bertahun-tahun menjadi semakin erat. Membantuku tiap waktu, menjaga waktu tenatku, keretanya adalah tumpanganku, masanya adalah waktuku, banyak hal yang berlaku, tapi R masih menjadi sahabat dan temanku.

Waktu aku berdepan dengan satu masalah yang menguji dimana kawan dan lawan, R berdiri di depanku bermati-matian. Membuatkan aku masih punya pertimbangan.

Bagi aku sokongan R bukanlah sokongan yang salah dan akhirnya membawa rebah. Sokongannya adalah kerana dia tidak mahu aku lemah dan mengalah, dia tidak mahu aku terperosok di dalam tempurung dan membiarkan harga diriku dikurung, dia tidak mahu aku menangis atas kesilapan orang lain dan kemudiannya aku juga yang harus menangkis.

RS juga terbina atas bantuan R, dia melihat sendiri bagaimana susahnya aku, bagaimana aku memilih berdikari sebagai jalan hidupku, bagaimana dia melihat aku menghambat waktu dalam lapang dan sibukku.

Kepada R, usah lagi berkecil hati, tulisan ini mungkin begitu kecil untuk membesarkan pengorbananmu. Aku mahu berada bersama waktu kau penuhi cita-citamu dan aku mahu membantu.

InsyaAllah, rumah idaman, pekerjaan impian, kesenangan berpanjangan akan dapat dipenuhkan. Aku dan teman-teman akan doakan.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home