~Jalan Kenangan~ Sangdewi~

Sepanjang jalan kenangan, banyak kisah yang datang dan ditinggalkan, banyak cerita yang dijadikan teladan dan sempadan.Sepanjang jalan kenangan semalam yang tidak pernah padam, kenangan hari ini yang terus bersemi, kenangan akan datang yang akan menjelang.Sepanjang jalan kenangan ini, di sini aku berdiri atas nama insani.

Thursday, May 11, 2006

11 MEI- Mmmmm..apa lagi yang hendak didefinisikan tentang tarikh ini. Detik 12 malam, aku berada di sebuah restoran tomyam, bersama Papa dan anak-anak yang dikasihi. Aku memang memperuntukkan waktu untuk merasai suasana ini. Memang badan terlalu letih kerana sejak pagi di RS namun masa tidak akan memberi peluang jika tidak dicuri. Mahu sahaja aku hanya bersama Papa, namun melihat PSNN dan junior yang masih belum tidur aku jadi tidak sampai hati. Jadinya kami berempat di sini. Lewat 2 jam sebelum tiba detik tengah malam, Papa yang baru pulang dari Sabah sudah memberikan sesuatu yang memang terlalu ingin aku miliki. Masakan tidak, aku mahu sejarah hidupku diabadi. Aku mahu membawanya ke mana saja aku pergi. Walaupun sudah ada beberapa yang aku miliki sebelum ini, namun aku mahu ianya kepunyaan sendiri. Begitu senang hati aku malam ini. Memilikinya sudah cukup membuatkan aku amat berpuas hati. Apa dia???? Yang ku impikan hanya kamera digital yang tinggi fungsi. Sejarah hitam album2ku musnah setelah lebih 20 tahun menyimpannya begitu meremukkan hati. Memikirkannya buat hati menangis lagi. Aku mahu memulainya lagi.....

Siang itu aku ke RS, membantu supaya aku boleh pulang awal sebelum pergi ke acara yang aku rancang sendiri. Hanya konsep dan temanya sahaja, selebihnya ditentukan teman-teman yang
disayangi. Setiap tahun dengan tema berbeza tentu majlis lebih berseri.

Ada beberapa perkara yang belum sempat diperolehi, dan petang itu aku mengajak Papa ke tempat jualan pakaian jenama yang dikatakan murah. Bila tiba di sana, nampaknya iklan saja yang meriah.

Singgah di JJ untuk membeli baju tidur kerana konsep malam ini adalah tidur, tempat tidur dan baju tidur. Tak banyak sangat pilihan tetapi aku telah menjumpai stokin pink berbulu yang memang aku dah lama nak pakai, tak salah..hanya untuk berhibur.

Balik ke rumah, ingat nak bersiap-siap awal tetapi memandangkan PSNN dan junior memang tak duduk diam, aku mengambil keputusan ke salon terlebih dahulu sebelum bersiap di rumah R.

Hehehheeh....susah nak gambarkan gayaku malam itu, cukup dengan serba merah jambu(lagi..dan lagi...). Atas kepala dengan skaf (cekak) beriben, baju tidur lambang cinta paras lutut sahaja, stokin berbulu, rambut aku biarkan panjang mengurai, sedikit bedak dan gincu. Cukup membuatkan aku tersenyum kerana mengenakan gaya begini bukan selalu.

Selepas siap, aku dan R mengamvil A dah terus menuju ke rumah A & F. Sampai depan pintu rumah, kena tutup mata (lagi....). Masuk dalam rumah, biasalah....pergerakan aku dikawal....entah apalah yang sedang berlaku, dan membiarkan aku dengan mata maish tertutup.

Berdiri di satu tempat, tetiba aku macam terlibas kek dengan tanganku...heheheh..bocor dah rahsia. Depan aku ada kek rupanya...jeng..jeng..jeng....tiup lilin dan bukak lampu. Klik-klik-klik..dengan kamera baru.

Habis acara pertama, kemudian makan-makan, seterusnya bergambar macam orang baru jumpa kamera. Memang aku mahu malam ini diabadikan sepenuhnya. Mahu gambar itu kekal selamanya, mahu kenangan ini aku bingkaikan...mahu segala-galanya menjadi yang termanis.
Semua teman-teman sporting, berbaju tidur semuanya. Tak kurang yang terlebih gaya dengan rambut yang kusut masai, konon-konon terlebih tidurlah tu.

Bila dah habis bergambar kat atas tilam yang terletak di tengah-tengah rumah, dengan belon-belon, ada pulak tayangan yang cukup memeranjatkan. Sungguh aku tidak sangka, selepas 16 tahun, aku akan menatapnya lagi..sungguh mengesankan. Aku amat terharu dengan usaha R dan teman-teman mendapatkan bahan itu, sedang aku sendiri tidak mempunyai simpanan. DVD Pesta Pantun Kebangsaan 1990 itulah yang dihadiahkan. Walaupun malu melihat aksiku, tetapi aku berbangga kerana kini aku telah memilikinya. Secara eksklusif, kami menonton beramai-ramai malam itu, usikan berderai-derai.

Tiba-tiba ada pulak benda bertutup kain yang muncul di tengah rumah. Aku diarahkan membukanya walaupun ngeri, tak tahu apa yang dihadiah. Aduh, terharunya, portable sauna yang selama ini aku impi untuk memilikinya di rumah. Sekarang sudah di depan mata, dan teman-teman menyuruhku bersauna malam itu juga. Kerja gila..tengah2 malam buta, di tengah2 rumah itu, aku bersauna. Segar terasa....(hehehhehe)

Bila habis bersauna, badan menjadi segar, mata juga terbuka dengan luasnya...apalagi, pesta bergambar kembali. Ada acara buka hadiah lagi satu......buku nota dan......(mmm.....). Terima kasih!Kami menghabiskan malam itu dengan suka hati, dengan rasa yang sungguh gembira sekali.

Malam yang panjang terasa singkat, kita menjadikan majlis ini untuk menjadikan hati semakin dekat. Kita melupakan mimpi berbirat dan membiarkan keindahan melekat erat. Kita membuktikan bahawa kita mampu berdiri kuat jika kita bermuafakat.

Buat semua teman...yang ada di majlis ini, yang datang ke RS mengucapkan selamat hari lahir dan memberi hadiah, yang menghantar ucapan lewat sms, yang meninggalkan salam pada teman, yang mengucapkannya di sz, aku amat berterima kasih atas ingatan. InsyaAllah, aku mahu terus hidup untuk 32 tahun akan datang. Aku mahu melihat keluargaku dilimpahi bahagia, aku mahu anak-anakku berjaya, aku mahu teman-temanku mempunyai keluarga, aku mahu seluruh kenalanku mencapai cita mereka. Waktu itu aku sudah tua, aku sudah tidak berdaya...namun aku mahu membekal bahagia kerana kenangan yang aku bawa hari ini, akan jadi khazanah paling berharga tatkala usiaku menggapai senja. Jikapun pada detik itu aku sudah tiada, biarlah tinggal hanya nama, yang wanginya pernah mencecah hati kalian semua.

Pada ulangtahun kelahiran ke 32, aku mahu menulis ini....buat tatapan kita semua....

Aku mahu memberi bahagia
(sempena ulangtahun ke 32...11 Mei 2006)

Gedung hati makin sarat
Tanggungjawab makin berat
Bersilang kudrat dan keringat
Restui perjalanan hayat
Limpahi segala berkat

Aku mahu memberimu bahagia
Menyeka airmatamu waktu duka
Membalut impianmu dengan nyata
Menenggelamkan kekabutan rasa
Menjengahkan hari-hari ceria
Pada satu ketika biar hanya sedetik cuma
Aku mahu melihatmu tersenyum bahagia
Dalam peluk, doa, kasih dan mesra
Seorang aku, seorang manusia

Detik-detik tidakkan berulang
Mahu kuberikan bahagia untuk kau bawa pulang
Menghadiahkan kenangan untuk dikenang
Pada waktu yang masih diberikan ruang
Pada masa yang masih ku berpeluang.

SANGDEWI.11 MEI 2006


0 Comments:

Post a Comment

<< Home