~Jalan Kenangan~ Sangdewi~

Sepanjang jalan kenangan, banyak kisah yang datang dan ditinggalkan, banyak cerita yang dijadikan teladan dan sempadan.Sepanjang jalan kenangan semalam yang tidak pernah padam, kenangan hari ini yang terus bersemi, kenangan akan datang yang akan menjelang.Sepanjang jalan kenangan ini, di sini aku berdiri atas nama insani.

Tuesday, June 20, 2006

13 JUN- 4 tahun lalu, di business centre Hotel Mulia, Jakarta menjadi pemula. Aku menulis blog atas desakan walaupun minat sudah lama menjelma. 4 tahun yang tidak begitu tepat, kerna penulisan tersekat-sekat dan juga blog atas nama dulu juga pernah tamat. Adakala berbulan-bulan tidak menulis, adakala peristiwa besar juga tidak sempat ditulis habis, dan adakala mahu sahaja semua kenangan dibiar terhakis. Waktu menulis aku berusaha tidak mahu menjadi pengemis, meminta cerita untuk diceritakan, meraih kata untuk dijadikan perkataan, yang aku mahu agar telus dalam bahasa dan nada perasaan aku saja. Menulis walau tak difahami cukup jika sudah terluah rasa hati, menulis walau tak berterus terang cukup jika bisa membuatkan hati tenang. Blog ini juga banyak mendekatkan aku dengan `tetamu senja' yang aku sendiri tidak tahu dari mana, ada yang singgah, ada yang menyapa, ada yang lalu sahaja, ada yang mula mahu mengenal, ada yang membaca dalam rahsia, ada yang tahu tapi buat tak tahu, sebenarnya ianya lumrah kerana tulisanku ini sudah berada di alam maya, dan tentunya aku tidak bisa menolak semua keadaan ini.

Terima kasih untuk 4 tahun ini, kepada keluarga yang disayangi, kepada Papa yang bererti, kepada anak-anak yang dikasihi, kepada teman-teman yang sukar dicari ganti, kepada setiap memori yang aku lalui, kepada setiap kegembiraan di hati, kepada setiap kelukaan yang mengajar diri, kepada setiap pengalaman duniawi, kepada semua `makhluk Tuhan' yang aku kenali dan tidak kenali, aku amat perlu berterima kasih tanpa ayat menggegar cukup cuma jika hati kalian mendengar. Kehidupanku jadi lengkap dengan setiap pengalaman yang kudakap.

Ok....`dia' ada tugasan hari ini, pembikinan video klip untuk lagu `B'. Asalnya jam 2 petang, tangguh lagi ke 3 petang, kemudian 4 petang. Cuaca yang menggagalkan, dan kami tiba di Pengasih juga pada sebelah petang. Dilayan baik sebagai tetamu yang diundang, diberikan tempat rehat yang lapang. Memulakan pembikinan dengan tenang, semuanya serba tenang. Jam 9.30 malam berangkat pulang. Esok sambung lagi di sini lagi.

Hanya untuk satu ingatan diri sendiri atas peristiwa hari ini: Berlapik kata kerna tidak mahu hati terluka;namun akhirnya aku juga yang terluka.

Tidak muncul depan mata, dalam hati dan tidak ada juga di sisi.

14 JUN-Hari ini aku membantu dahulu di RS, sebelum ke lokasi video klip lagu `B' di Pengasih. 4 jam di Pengasih, berakhir dengan satu majlis kecil yang besar makna. Dia turut memberi sepatah dua kata dan berakhir dengan penerimaan cenderamata.

Kemudian ke lokasi lagi satu, sampai awal dan berehat dalam caravan. Hampir jam 10 malam baru bermula. Oleh kerana sejak semalam badan lemah, aku benar-benar keletihan. Curi tulang hampir 2 jam dalam caravan, mengantuk sangat. Jam 3 pagi, aku kembali melihat dia di lokasi sampailah jam 530pagi.

15 JUN-Keletihan semalam membuatkan aku bangun agak lewat hari ini. Kemudian ke RS, membantu di sana pula.

16 JUN-Di RS, kemudian ke bangunan Maxis, ada meeting di sana. Sampai agak lewat, tak sampai setengah jam, semua dah selesai.
Malamnya, aku minta PSNN dan junior memberikan hadiah surprise buat Papa sempena Hari Bapa. Hadiah yang tak seberapa, baju T lengan panjang yang aku beli dua, design sama, warna sama, saiz sahaja yang berbeza. Satu untuk aku dan satu lagi untuk Papa. Papa terus memakainya dan kami anak beranak keluar makan kat gerai yang tak jauh dari rumah.

17 JUN-Paginya ke RS, kemudian ikut dia ke acara JJ di Taman Equine. Jalan sesak, akibatnya hampir sahaja terlewat. Semua berjalan dengan baik.

18 JUN-Pagi di RS, kemudian ikut dia ke PWTC, buat latihan sebelah petangnya untuk acara malamnya pula. Aku ke The Mall, cari album untuk lagu-lagu acara dia di tv nanti. Pusing-pusing aku jadi bosan, tak banyak pilihan.

19 JUN-Ada meeting di RTM untuk acara dia, minta tolong R hantarkan.
Kerana aku lapar sangat, akhirnya meeting dibuat di kantin sahaja. Lama juga ambil masa hampur 4 jam. Alhamdulillah rasanya lega sebab selesai untuk dua acara sekaligus, kalau tidak susah juga nak mengatur jadual kerjaku.

Bergegas ke sekolah PSNN, aku dan Papa mungkin ibu bapa terakhir yang datang buat perjumpaan dengan guru-guru. Sebenarnya minggu lepas tapi aku minta tangguh ke hari ini. Berdebar juga menantikan prestasi PSNN yang guru-gurunya hendak bentangkan.

Rasa lega bila PSNN nampaknya ada peningkatan dan semua guru-guru berpuas hati. Melihatkan hasil kepada keputusan peperiksaannya, aku gembira. Malah aku terkejut kerana aku sangkakan PSNN agak ketinggalan kerana banyak perkara yang aku tanya di rumah dia tidak dapat menjawabnya, rupa-rupanya di sekolah PSNN belum lagi belajar di tahap itu. Hehehhe....patutlah....

Papa warnakan rambutnya hari ini setelah lama meminta izin, aku saja yang tidak bagi. Akhirnya untuk hari ini tidak mengapalah, asal berpuas hati!

Ruang bersemuka merungkai segala namun jika masih berahsia tentulah masih ada hati yang terluka dan tertanya-tanya

2 Comments:

  • At 3:22 PM, Anonymous datuk kalt said…

    rasanya jk akan memasuki fasa yg baru setelah apa yg berlaku dan memungkinkan sd lebih sibuk dengan persiapan dia dan tugasan di rs. didoakan semoga sukses dan perjalanan jk tidak terhenti.

     
  • At 6:08 PM, Anonymous Anonymous said…

    Salamz..pertama kali hari ini dapat masuk ke blog ini..Sesuatu yg menarik untuk dibaca dan dihayati. Sesibuk manapun masih sempat lagi untuk menuliskan ek. Seronok dpt berada di blog ini. Teruskan penulisan..saya akan terus ikuti segala penulisan. ;-)

     

Post a Comment

<< Home